Realtime website trackingweb stats

Drama dah habis tayang tapi bayaran penuh mana, Nasha kesal tak ‘sign’ kontrak sebab dah kenal lama

Oleh ADINDA

Drama dah habis tayang tapi bayaran penuh mana, Nasha kesal tak ‘sign’ kontrak sebab dah kenal lama.

Pelakon dan model jelita, Nasha Aziz menggesa sebuah syarikat produksi milik seorang produser terkenal supaya menyelesaikan tunggakan sebanyak 30 peratus baki bayaran untuk lakonannya dalam sebuah drama bersiri.

Nasha atau nama lengkapnya Noraishah Abdul Aziz, 52, berkata, baki bayaran tersebut sepatutnya sudah dijelaskan sepenuhnya pada Februari lalu, selepas drama yang turut dibintangi pelakon Intan Najuwa, Yusuf Bahrin dan Malek Maccrone itu selesai tayangan pada hujung tahun lalu.

“Sepatutnya baki bayaran tertunggak diselesaikan pada Februari lalu selepas drama itu selesai ditayangkan. Tapi sehingga kini saya masih belum mendapat baki bayaran sebanyak 30 peratus itu.

“Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang seni, ini kali pertama perkara sebegini berlaku,” ujarnya.

Selain dirinya, selebriti tinggi lampai itu turut memberitahu terdapat beberapa individu lain seperti pengarah dan pengarah fotografi juga belum menerima bayaran sepenuhnya sehingga kini, namun bukan untuk projek drama yang sama.

Dalam pada itu, Nasha berkata dia sedia berbincang dengan syarikat produksi tersebut kerana dia masih lagi boleh bertolak ansur, asalkan bayaran yang dijanjikan dapat diselesaikan.

“Kalau ada sebarang masalah, saya sedia untuk berbincang dengan pihak produksi terbabit. Sebagai orang Melayu, kita terkenal dengan sifat bertolak ansurkan?

“Saya sudah selesaikan tugas saya. Drama tersebut juga sudah habis ditayangkan, jadi tolong bayar duit saya,” katanya.

Ketika disoal tentang hubungannya dengan produser tersebut, aktres penjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 itu memberitahu, individu terbabit perlahan-lahan mula menyepi.

“Awalnya kami masih berhubung. Dia masing menjawab panggilan telefon saya. Tapi lama kelamaan, dia mula berdiam diri dan hanya menghantar bunga sahaja kepada saya ketika hari jadi saya baru-baru ini.

“Kami sudah lama kenal. Malah individu terbabit juga mempunyai reputasi serta latar belakang yang baik,” jelasnya.

Selepas apa yang terjadi, Nasha yang ditemui semasa sidang media dan pelancaran teater monodrama, Kopi Pangku dan Gaun Baju Melayu di Stor Teater, DBP, di sini semalam, mengakui insiden tersebut berlaku kerana kesilapan daripada pihaknya.

“Salah saya sebab perjanjian tersebut dilakukan tanpa sebarang hitam putih (kontrak). Mungkin sebab kami sudah lama mengenali dan saya selesa dengan produksi tersebut sehingga menyebabkan perkara ini berlaku.

“Jadi selepas ini kalau boleh, saya akan tetapkan sedikit had dan sempadan (kepercayaan),” ujarnya.

Baca:

Tanggung beban hutang ayah sampai kena ‘blacklist’, kisah tiga beradik ini menyedihkan

Pakcik bawa duit dalam guni, kira tepi jalan untuk beli motorbike, bukan calang-calang dia ni

Dikait pengkid, netizen perasan ada perubahan pada wajah Enot