Realtime website trackingweb stats

Suami sampai tegur kenapa ‘melekat’ dengan telefon, rupanya pensyarah ini dah lesap lebih RM500,000

Oleh ADINDA

Suami sampai tegur kenapa ‘melekat’ dengan telefon, rupanya pensyarah ini dah lesap lebih RM500,000.

Perubahan sikap kerap memegang telefon bimbit membongkar kisah seorang pensyarah wanita apabila diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon (phone scam) sehingga menyebabkan kerugian lebih setengah juta ringgit.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, wanita berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri daripada syarikat penghantaran barang pada 3 Ogos lalu.

Katanya, suspek mendakwa mangsa mempunyai dua bungkusan mengandungi lima keping kad pengenalan, lima keping pasport dan lima keping kad bank atas nama orang lain.

“Panggilan kemudian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bukit Aman. Suspek yang menyamar polis memaklumkan mangsa terlibat dalam sindiket pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

“Malah, mangsa juga diberitahu terdapat notis waran tangkap atas namanya sebelum diarahkan membuat pindahan wang bagi tujuan semakan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sejak 3 hingga 12 Ogos lalu, mangsa melakukan 25 kali transaksi ke dalam 16 akaun pemilik dengan jumlah keseluruhan RM537,659.89.

Mangsa hanya mengetahui dia diperdaya setelah ditegur suaminya kerana berubah sikap apabila kerap memegang telefon bimbit.

“Suami mangsa mengesan sesuatu yang tidak kena setelah wanita itu cuba meminjam wangnya untuk membuat bayaran kepada individu tertentu.

“Mangsa membuat laporan polis kelmarin dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Baca:

Seramnya bunyi ketukan bertalu-talu dari bawah tanah, tapi bukan ancaman gempa atau tanah runtuh

Warga emas dedah suami OKU kena game oleh petugas SPR, lain disuruh lain yang dipangkah

Pendakwah influencer luar negara iktiraf Malaysia negara terbaik belajar Islam