Siar ‘live’ di IG aksi kejam sampai bandar diumum darurat, lelaki sado ini akhirnya bunuh diri.
Seorang lelaki di Bosnia dan Herzegovina membunuh tiga individu termasuk bekas isterinya, sebelum menembak mati dirinya sendiri, baru-baru ini.
Mirror UK melaporkan, Nermin Sulejmanovic, 35, ada menyiarkan sebahagian aksi berkenaan secara langsung di media sosial.
Mangsa maut terdiri daripada bekas isterinya, seorang bapa dan anak lelakinya, manakala tiga mangsa lain dilaporkan cedera.
Media tempatan melaporkan secara meluas tindakan suspek menyiarkan secara langsung pembunuhan kejamnya.
Dia turut mencederakan seorang lelaki dan wanita lain di lokasi berbeza di Gradacac.
“Sesiapa yang pernah melaporkan saya kepada polis tidak melakukannya dengan baik.
“Mungkin saya tidak menghubungi seseorang, tetapi kini ia sudah berakhir,” katanya menerusi penstriman langsung di Instagram (IG), dipercayai sebelum menembak mati dirinya sendiri.
Dalam video di media sosial itu, dia turut menyenaraikan semua individu yang dibunuhnya ketika kejadian berkenaan.
“Saya menembak anggota polis itu, tetapi dia melarikan diri. Dia lari dengan (menaiki) Skoda, saya tak dapat tangkap dia dengan (menaiki) BMW.
“Ketakutan merebak ke seluruh bandar selepas dia mengeluarkan amaran menakutkan.
“Saya sedang menunggu untuk (mengisi peluru) ke dalam senjata saya sebelum meneruskan…,” kata Sulejmanovic menerusi penstriman langsung itu.
Susulan kejadian, datuk bandar tempatan, Edis Dervisagic, mengisytiharkan darurat di bandar timur laut itu.
“Terdapat keadaan kecemasan di Gradacac. Rakyat diarahkan menjauhi tempat awam,” katanya.
Lelaki itu kemudian membunuh diri sebelum dapat ditahan pihak berkuasa.
Menurut laporan media Bosnia, Sulejmanovic mempunyai latar belakang sebagai ahli bina badan dan jurulatih kecergasan.
Dia sebelum ini berdepan tangkapan berkaitan pertuduhan menyeludup dadah dan menyerang pegawai polis.
Sementara itu, pihak berkuasa berkata, pengguna media sosial yang menulis mesej sokongan semasa penstriman langsung oleh lelaki itu di Instagram itu akan disoal siasat, dan berpotensi menghadapi tindakan undang-undang.