Zuhud ke tak pendakwah selebriti naik kereta mewah termasuk vellfire, ini respons Ustaz Adnin.
Dianggap Berdakwah Tapi Tak Zuhud Sebab Naik Vellfire, Ini Respon Ustaz Adnin Roslan
Penulis buku Tarbiah Sentap, Ustaz Ahmad Adnin Roslan menjawab dakwaan warga maya yang menyatakan dia memakai kereta mewah namun tidak zuhud seperti yang lain.
Menerusi media sosial miliknya, seorang warga maya bertanyakan soalan berkaitan kerja yang dilakukan oleh Ustaz Ahmad Adnin, susulan penulis itu memakai kereta mewah.
“Kerja apa sampai pakai Vellfire? Tunggang agama ke? Selalu ustaz-ustaz ni zuhud je”
Demikian soalan yang ditanyakan dalam kotak ‘Ask me a question’ di Instagram.
Bagi memastikan tiada salah faham berlaku, Ustaz Ahmad Adnin menjawab pertanyaan itu supaya tiada perkara itu tidak menimbulkan syak wasangka.
“Masa 2015, saya mula terbitkan buku pertama, buku Tarbiah Sentap. Alhamdulillah rezeki daripada Allah buku itu terjual lebih kurang 100,000 naskah.
“Tahun itu juga saya kahwin. Awal-awal berkahwin saya guna Proton Saga lama kepunyaan atuk saya tapi selepas dapat banyak jemputan ceramah, saya tukar kereta jenis Toyota Vios,” katanya.
Ustaz Ahmad Adnin kemudiannya menceritakan ada satu kejadian yang tidak diingini berlaku di mana dia dan isterinya terlibat dalam satu kemalangan.
Insiden itu membuatkan kereta Vios rosak berpanjangan dan atas isu keselamatan dia memilih untuk membeli kereta yang lain, iaitu Toyota Avanza.
“Kenapa (pilih) Avanza kerana saya ini kerap (hadiri) ceramah dan dalam sebulan kira-kira 30 hingga 50 universiti dan sekolah yang kena pergi.
“Saya bagi ceramah secara free dan tidak berbayar tetapi setiap ceramah saya bawa buku. Sebab itu saya pilih Avanza supaya dapat bawa buku banyak,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, masalah masih lagi berterusan di mana kereta tersebut tidak memberi keselesaan kepadanya.
Ujarnya, dia tidak dapat berehat di dalam kereta kerana rasa ketidakselesaan sehingga ia membuatkan kesihatannya bertambah buruk.
Perkara itu juga membuatkan dia membatalkan beberapa ceramah selain keretanya tidak boleh menampung berat buku yang dibawa.
Selepas itu, Ustaz Ahmad Adnin meningkatkan status hidupnya dengan membeli Toyota Vellfire atas dasar menjaga kesihatannya.
“Ini kerana supaya selepas ceramah saya boleh rehat dengan selesa di dalam kereta dan perkara itu juga bagus untuk kesihatan.
“Pada masa yang sama boleh bawa banyak lagi buku dalam keadaan kereta saya tidak rosak.
@adninroslan ….. #ustazadnin #tiktokguru #tarbiahsentap #fyp #tuhanakuinginsembuh ♬ original sound – Ustaz Adnin
“Itulah sebab saya beli Vellfire pada tahun 2021, bukan sebab saya nak menunjuk-nunjuk, tiada masa saya untuk melakukan perkara itu.
“Ingat dapat Vellfire itu dapat masuk syurga ke? Belum tentu lagi,” ujarnya.
Maksud zuhud
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan maksud zuhud yang sebenar supaya ia tidak disalah tafsir oleh orang ramai.
“Miskin bukan tanda zuhud, kaya bukanlah bermakna tak zuhud.
“Zuhud itu ialah orang yang meletakkan dunia di tangannya dan bukan hatinya.
“Dia tidak menjadikan dunia tujuan hidupnya, tapi dijadikan alat untuk mencapai tujuan hidupnya yang sebenar iaitu akhirat,” tambahnya.
Difahamkan juga, Ustaz Ahmad Adnin memiliki sebuah syarikat yang dinamakan Tarbiah Sentap dan kini telah beroperasi selama sembilan tahun.