Jangan main-main di Bali, beratus warga asing dihantar pulang, ini antara kesalahan yang dibuat. Jumlah warga asing yang dihantar pulang dari Bali ke negara masing-masing pada tahun ini direkodkan semakin meningkat.
Menurut Pejabat Wilayah Bali, bermula dari Januari hingga Julai tahun ini, seramai 198 warga asing dihantar pulang ke negara masing-masing.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding tahun lalu iaitu seramai 188 orang.
“Sehingga kelmarin, seramai 198 orang warga asing dihantar pulang,” kata Ketua Pejabat Wilayah Bali, Anggiat Napitupulu.
Katanya, peningkatan kemasukan pelancong asing ke Bali menjadi antara faktor semakin ramai warga asing dihantar pulang kerana melanggar peraturan serta undang-undang pihak berkuasa tempatan.
“Pada tahun lalu, jumlah pelancong yang masuk ke Bali kurang dua juta orang dan kini, sudah lebih dua juta.
“Pada masa akan datang, jumlah pelancong dianggarkan semakin meningkat dan dikhautiri semakin ramai juga warga asing yang akan membuat kesalahan di Bali,” ujar Anggiat.
Dalam pada itu, Anggiat memberitahu, warga asing dari Russia, Amerika Syarikat (AS) dan Britain antara yang paling banyak melanggar undang-undang di Bali dan dihantar pulang.
Jelasnya, antara kesalahan yang sering mereka lakukan adalah masalah imigresen, menetap melebihi tempoh visa dan menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja di pulau peranginan ini.
“Pihak berkuasa Bali akan terus memantau aktiviti warga asing bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang dan jika boleh.
“Kita mahu semua pelancong yang masuk ke sini menghormati peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” kata Anggiat