Harga purata ayam turun 11.53% pada Ogos. Harga ayam standard di pasaran seluruh negara terus mencatatkan trend penurunan pada sejak 1 Ogos 2023, menurut laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Melalui pemakluman di laman rasmi Faceboom kementerian, KPDN berkata perbandingan dalam tempoh sebulan iaitu dari 1 Julai 2023 sehingga 1 Ogos 2023 telah merekodkan penurunan sebanyak 11.53 peratus iaitu turun pada harga RM8.29 sekilogram berbanding RM9.37 sekilogram pada awal bulan Julai lalu bagi peringkat Nasional.
“Di peringkat Semenanjung, perbandingan bulanan menunjukkan harga turun sebanyak 11.99% kepada RM8.22/kg pada 01 Ogos 2023 berbanding RM9.34/kg pada 01 Julai 2023,” katanya.
Menurut pihak kementerian itu lagi, penurunan harga hampir 13 peratus bagi ayam bersih standard berbanding harga kawalan RM9.40 sekilogram ini lebih banyak disumbangkan oleh penjualan di pasaraya.
Tinjauan Nextstep di media sosial juga mendapati rata-rata pengguna mengakui berlaku penurunan harga ayam sejak beberapa minggu lalu.
Malah ada yang memuat naik gambar tanda harga ayam di pasar menunjukkan trend penurunan harga terus belaku sehingga pada kadar di bawah RM8.00 sekilogram pada minggu kedua Ogos.