Guru mengaji selamba cabul anak jiran, remaja takut sampai 4 tahun jadi mangsa. Seorang warga emas tergamak mencabul seorang remaja perempuan yang juga anak kepada jirannya sejak empat tahun lalu.
Memetik laporan media antarabangsa, detikjating, suspek yang dikenali sebagai AR berusia 69 tahun sudah mula melakukan perbuatan terkutuk itu sejak mangsa berusia 13 tahun dan perkara tersebut dirahsiakan kerana mangsa takut untuk bercerita kepada sesiapa.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Wonosobo, Kuseni berkata, kejadian itu bermula sejak 2019 dan berlarutan selama empat tahun.
“Perbuatan terkutuk suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara tersebut kepada orang tuanya dan terus melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa,” katanya dalam satu sidang media bersama wartawan pada Rabu.
Tambah Kuseni lagi, difahamkan suspek yang juga merupakan guru mengaji tinggal berhampiran rumah mangsa sering mengawasi kawasan tersebut.
“Sekiranya dia mendapati, hanya mangsa yang tinggal di rumah, suspek akan datang dan mengambil kesempatan mencabul mangsa,” jelasnya.
Suspek kini bakal didakwa dan bakal berdepan penjara maksimum 15 tahun.