Takut kantoi waktu dating, wanita ini sanggup potong bekalan elektrik, satu kampung bergelap. DEMI cinta, lautan api sanggup ku renangi.
Demikian kisah gadis ini apabila sanggup melakukan apa sahaja agar dapat berjumpa dengan teman lelakinya secara rahsia tanpa diketahui keluarga atau penduduk setempat.
Pertemuan dengan teman lelakinya yang berasal dari kampung sebelah itu akhirnya tercapai apabila gadis ini bertindak memotong bekalan elektrik sehingga menyebabkan kawasan penempatan mereka bergelap.
Dengan bantuan kegelapan malam, lelaki dan gadis itu meloloskan diri untuk menghadiri temu janji yang mereka sudah impikan buat sekian lama.
Namun, tindakan gadis itu membawa padah apabila bekalan elektrik yang terputus menyebabkan aktiviti jenayah dan kecurian berleluasa sehingga memporak-perandakan kampung.
Selepas lebih seminggu mengharungi malam penuh gelap-gelita, orang kampung melaporkan permasalahan itu kepada syarikat utiliti.
Bagaimanapun, syarikat elektrik berkenaan mengatakan mereka tidak menemukan sebarang isu pada infrastruktur.
Insiden pergaduhan yang menjadi tular di media sosial.
Buntu dengan apa yang sebenarnya berlaku, persoalan mereka akhirnya terjawab apabila penduduk yang meronda kawasan menangkap pasangan muda itu bertemu dalam kegelapan malam.
Difahamkan, gadis berasal dari Bihar, India itu bernama Preeti Kumari dan cinta hatinya pula dikenali sebagai Rajkumar.
“Preeti memotong bekalan elektrik kampung setiap malam dan banyak kecurian berlaku di kampung kami.
“Hidup kami terganggu kerana sikap pentingkan diri gadis ini,” kata seorang penduduk kampung.
Dalam satu video tular di media sosial, Preeti cuba mempertahankan kekasihnya daripada penduduk yang mengancam untuk memukul teman lelakinya.
Sebahagian penduduk dikatakan berjaya melepaskan beberapa pukulan dengan menggunakan kayu terhadap Rajkumar.
Bagaimanapun, Rajkumar berjaya melarikan diri dan kembali semula dengan rakan dari kampungnya sendiri untuk membalas dendam.
Bagi mengelakkan gangguan bekalan elektrik berterusan dan keadaan bertambah buruk, penduduk kedua-dua kampung memutuskan bahawa pasangan muda itu harus berkahwin.
Preet dan Rajkumar akhirnya berjaya disatukan di sebuah kuil.