Terkejut tengok banyak terdampar di pantai Argentina, rupanya makhluk ini biasa dijumpai di Korea. Pengunjung sebuah pantai di Argentina terkejut apabila menemui sejenis makhluk dikenali sebagai ‘ikan zakar’, terdampar dalam bilangan yang besar, lapor akhbar Daily Star, 19 Julai lalu.
Pengunjung Pantai El Murtillar di bandar Rio Grande melihat haiwan ganjil itu atau nama saintifiknya, urechis unicinctus petang Isnin minggu lalu.
Ia adalah sejenis cacing sudu yang turut digelar sebagai ‘the fat innkeeper worm’ kerana mampu menghasilkan lubang berbentuk ‘u’ di dalam pasir atau lumpur.
Beberapa gambar dirakam penduduk setempat memaparkan makhluk panjang kira-kira 25 sentimeter itu memenuhi pantai.
Urechis unicinctus sering ditemui di Asia Timur, namun ini bukan kali pertama ia terdampar di kawasan-kawasan lain di dunia.
Ia dikatakan menjadi hidangan yang biasa ditemui di Korea Selatan, Jepun dan China. Urechis unicinctus dijual di pasar dan restoran di negara-negara tersebut.
Teksturnya pula digambarkan sebagai kenyal, manakala rasanya masin dan manis.
Haiwan itu dikatakan wujud sejak 300 juta tahun lalu dan mempunyai jangka hayat sehingga 25 tahun. Ia hidup dengan memakan bakteria, plankton atau partikel lain.