Berbanding dengan pelbagai jenis profesion, peranan guru dalam masyarakat dianggap tinggi kerana sumbangan mereka dalam mendidik dan membimbing kita semua.
Tanpa guru, siapalah kita? Ini adalah hakikat yang tidak dapat disangkal.
Walau bagaimanapun, jika kita mengkaji dengan lebih mendalam, banyak aspek tugas perguruan yang sebenarnya perlu dibuka kepada kritikan kerana itulah realitinya.
Tiada institusi perguruan yang sempurna. Guru juga manusia, yang turut mempunyai kesilapan.
Jadi, apakah aspek-aspek dalam kerjaya guru yang patut diakui memerlukan penambahbaikan secara besar-besaran?
1. Guru yang cakap tak serupa bikin
Salah satu cabaran menjadi pendidik adalah keserasian antara kata-kata dan tindakan kita dalam proses pengajaran.
Di sekolah, guru sering menasihati murid untuk menjauhi amalan buruk seperti merokok. Sanksi seperti denda atau tindakan tatatertib diambil terhadap murid yang kedapatan merokok atau menghisap vape.
Namun, apa pendapat tentang guru yang merokok di kawasan sekolah hingga dilihat oleh murid? Hampir setiap sekolah memiliki guru seperti ini, yang sering berada di stor sukan sebagai tempat ‘port’ utama. Mereka menegur murid tentang bahaya merokok, tetapi tidak mengamalkan nasihat itu sendiri. Ironi, bukan?
Selain itu, terdapat juga guru yang menekankan pada murid tentang pentingnya berkomunikasi dengan cara yang sopan dan tidak berteriak. Tetapi, suara mereka menjadi yang paling kuat dan menjerit ketika marah kepada murid yang tidak patuh.
2. Guru yang bawa masalah rumahtangga ke sekolah
Salah satu isu utama yang dihadapi oleh guru di sekolah dan memberi beban kepada murid-murid adalah apabila guru-guru tersebut membawa masalah rumah tangga ke dalam bilik darjah dan tidak mampu memisahkan tugas profesional mereka dengan masalah peribadi.
Keadaan ini sering berlaku di pelbagai sekolah. Jika anda pernah menjadi murid, pasti anda mengalami situasi serupa. Penulis sendiri pernah mengalami situasi ini semasa zaman persekolahan dahulu di mana guru sains sering absen atau kurang stabil emosinya di kelas akibat tekanan dari rumah tangga.
Dalam keadaan ini, pembelajaran terganggu dan kurang efektif. Kadang-kadang, dalam keadaan yang teruk, murid-murid boleh menjadi mangsa apabila guru menggunakan masa pembelajaran untuk meluahkan perasaan dan masalah peribadi mereka. Murid-murid pula terpaksa berfungsi sebagai tempat ‘terapi’ untuk masalah guru.
3. Guru yang lebih sibuk urusan luar sekolah
Berapa ramai di sini semasa zaman sekolah dulu pernah mengalami guru yang sentiasa sibuk dengan urusan luar sekolah sehingga langsung tidak memberi perhatian kepada aktiviti di dalam kelasnya?
Kami yakin banyak yang mengangkat tangan.
Entah mengapa, setiap sekolah pasti mempunyai seorang atau dua orang guru yang lebih berminat dengan urusan luar daripada mengajar, sambil menunggu gaji guru terus masuk.
Guru-guru seperti ini sering terlibat dalam pelbagai aktiviti di luar sekolah, seperti menjual ini dan itu, menjadi ejen, menjadi perantara, atau membantu kawan-kawan. Pelbagai urusan yang mudah! Dan yang terabai adalah murid-murid mereka. Ketika masuk ke dalam kelas, mereka hanya meminta murid membuka muka surat tertentu dan belajar sendiri.
Selepas itu, guru tersebut akan keluar semula untuk menyelesaikan urusan peribadi. Yang peliknya, guru seperti ini pandai menarik hati murid. Mereka menjadi rapat dengan pelajar sehingga tidak ada seorang pun murid yang mengadu tentang kurangnya tumpuan guru tersebut terhadap tugas mengajar.
Murid merasa segan untuk membuat sebarang aduan kerana guru seperti ini sering disayangi.
4. Guru gila media sosial
Sebagai ibu bapa, pasti ramai yang berusaha keras untuk menghalang anak-anak daripada terjerumus ke dalam media sosial.
Kita melarang mereka daripada berkongsi apa-apa yang boleh mendedahkan identiti mereka, kerana kita sedar bahawa media sosial bukanlah tempat yang sesuai untuk mereka.
Tetapi entah kenapa, ada guru yang tanpa ragu-ragu menggunakan anak-anak murid sebagai kandungan dalam media sosial, sama ada untuk dikongsi sebagai sebahagian daripada rutin harian seorang guru, aktiviti kelas, atau malah video tarian yang bersifat peribadi.
Dalam kes guru yang ‘lapar like’ seperti ini, kadang-kadang, jawapan-jawapan lawak atau kertas kerja anak murid dengan mudah dimuat naik untuk tujuan hiburan.
Entah mengapa amanah yang diberikan oleh anak murid kepada guru dilanggar tanpa ada sebarang rasa bersalah?
5. Guru yang memang tak dapat diterima anak muridnya
Dalam perbincangan yang lebih serius, kita perlu mengakui bahawa terdapat situasi di mana hubungan antara guru dan murid sukar dibina.
Walaupun seorang guru yang terbaik, kita perlu memandang serius kepada situasi di mana beberapa pelajar menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan guru yang diberikan untuk mendidik mereka.
Hal ini penting kerana terdapat keadaan di mana pelajar tidak dapat menyesuaikan diri dengan guru, menyebabkan pembelajaran mereka terjejas atau lebih teruk lagi, kehilangan minat terhadap subjek tersebut.
Pendapat lama mungkin akan menyalahkan pelajar tersebut, dengan mengatakan jika 29 pelajar lain boleh menerima guru mereka, mengapa hanya seorang pelajar yang tidak boleh. Tetapi penyelesaian tidak semudah itu, bukan?
Ingatlah kembali zaman sekolah anda dahulu; pasti ada guru yang anda seorang saja tidak suka, sehingga prestasi akademik anda terjejas walaupun pelajar lain berseronok belajar dengan guru tersebut.
Dalam situasi seperti ini, tidak adil untuk menyalahkan pelajar DAN pada masa yang sama, tidak adil juga untuk menyalahkan gurunya.
Apakah penyelesaiannya? Mungkin tiada jawapan yang pasti. Penulis sendiri jika ditanya oleh generasi muda, akan menasihatkan mereka untuk bersabar, teruskan belajar dan cuba sebaik mungkin walaupun mereka tidak begitu gemar dengan pendekatan guru mereka sepanjang masa di dalam kelas.
Pada akhirnya, kita perlu terima bahawa ada beberapa pelajar yang tidak sehaluan dengan guru mereka sehingga pendidikan mereka terjejas. Harapannya, kesan terjejas itu hanya melibatkan subjek yang berkenaan sahaja.
BACA:Â Akhirnya bayi sarat dengan alat bantuan pernafasan dapat perhatian PMX