Dalam konteks hubungan suami isteri, perkongsian hidup melibatkan lebih daripada sekadar soal kewangan;
ia turut merangkumi perasaan, masa, dan tanggungjawab bersama.
Bercakap mengenai kewangan, sesetengah pasangan mungkin mengamalkan konsep perkongsian melibatkan perbelanjaan dapur, komitmen, dan anak-anak.
Tidak salah sekiranya perbelanjaan tersebut dicapai secara bersama dengan persetujuan sebulat suara.
Namun, bagaimana jika si suami meminjam duit daripada isterinya disebabkan oleh kekangan kewangan?
Walaupun mungkin bukan isu besar jika perkara tersebut jarang berlaku, jangan anggap enteng kerana hal ini berpotensi menjadi punca keretakan rumah tangga yang boleh membawa kepada perceraian.
Seorang peguam syarie, Fahmi Ramli, menerusi perkongsian di laman Facebook, telah berkongsi lima perkara yang perlu dilakukan oleh isteri jika mahu meminjamkan wang atau barang berharga kepada suami:
1. Catat dan buat perjanjian bertulis
Walaupun nampak seperti mahu berkira dengan suami, namun al-Quran ada menyebut mengenai kepentingan hutang.
Kalau pun tidak berlaku perceraian, situasi kematian suami yang berhutang dengan isteri boleh menjadi cabaran di mahkamah.
2. Dokumen harta yang dipinjamkan
Ramai isteri yang pernah meminjamkan harta seperti barang kemas untuk digadai oleh suami.
Pastikan anda menyimpan dokumen seperti surat pajak barang. Begitu juga dengan wang, simpan di bank untuk membuktikan setiap transaksi.
3. Jangan berikan duit secara tunai atau serahan tangan
Ini adalah kesilapan terbesar jika memberikan pinjaman kepada suami.
Sekiranya tunai, tidak ada bukti yang sah. Sebaliknya, jika menggunakan kaedah cash deposit, resitnya mudah pudar, dan suami boleh menafikan pinjaman tersebut.
4. Sediakan saksi
Ada saksi yang mengetahui mengenai hutang yang anda berikan, siapa yang meminjam dan siapa yang meminjamkan. Ingat, di mahkamah, saksi adalah bukti penting. Air mata yang menitis tidak akan menggantikan bukti tersebut.
5. Perbualan melalui WhatsApp, emel atau mesej
Simpan segala bentuk komunikasi yang menunjukkan wujudnya hutang dari suami sebagai bukti.
Kesimpulannya, membuat persediaan awal dan beringat bukan bermaksud berkira, tetapi untuk mengelakkan diri daripada ditindas tanpa alasan oleh pasangan.
BACA: Zahnita hairan polis minta buat ujian air kencing, ‘Tiada apa yang saya sorokkan’