Realtime website trackingweb stats

37 jemaah dikompaun ingkar SOP PKP

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Antara jemaah yang dikesan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pemeriksaan polis di dua surau di Mukim Chetok, Tok Uban, Pasir Mas, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua jemaah terbabit terdiri daripada individu berusia antara 20 hingga 70 tahun dikesan ingkar SOP dalam pemeriksaan pada 9 malam itu.

Menurutnya, sebanyak 28 saman dikeluarkan di lokasi pertama diperiksa, manakala sembilan lagi diberikan kepada jemaah di surau kedua.

“Mereka dikenakan kompaun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka selain menunaikan solat Isyak berjemaah walaupun sudah sedia maklum bahawa tidak dibenarkan sepanjang PKP ini.

“Ia jelas melanggar SOP termasuk penjarakan fizikal yang bukan sahaja boleh membahayakan, malah memberi risiko kepada penularan Covid-19.”

“Masyarakat sepatutnya mematuhi segala arahan kerajaan demi keselamatan bersama terutama untuk mengekang peningkatan jumlah mangsa Covid-19 yang semakin membimbangkan di Kelantan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

“Pihak kami akan terus membuat rondaan dan pemantauan untuk mengenal pasti mana-mana kumpulan atau individu yang melanggar SOP selain mengalu-alukan kerjasama masyarakat setempat untuk melaporkan kepada polis jika berlaku di kawasan mereka.

Mohd Nasaruddin berkata,”Polis tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan membabitkan pelanggaran SOP terutama di sepanjang sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini.” katanya.