Berpuasa sebenarnya mendidik dan membersihkan jiwa daripada perbuatan-perbuatan dosa dan meningkatkan ketakwaan.
Dalam kehidupan seharian, kita mungkin sudah terbiasa dengan perbuatan buruk seperti berbohong, mengumpat, mencarut dan bercakap lucah.
Namun, tiba bulan Ramadan jangan sesekali melakukan perbuatan tersebut terutamanya ketika berpuasa di bulan Ramadan kerana ia akan menghilangkan pahala berpuasa. Sia-sia sahaja puasa anda.
Ini 3 jawapan yang dikemukakan dalam Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan mengumpat, mencarut dan berbohong:
1. Mengumpat dan berkata keji ketika berpuasa
Mengumpat dan berkata keji tidak termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan puasa tetapi ia boleh mengurangkan dan membatalkan pahala puasa. Hal ini kerana mengumpat merupakan perkara yang dilarang dan diharamkan syarak sama ada di bulan puasa mahupun pada bulan-bulan yang lain
Ibadah puasa merupakan ibadah yang difardukan ke atas umat Islam pada setiap tahun di bulan Ramadan. Dalam hal ini, seseorang itu hendaklah menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa di antaranya memasukkan sesuatu ke dalam rongga, muntah, keluar mani dan sebagainya.
Di samping itu, mereka yang berpuasa hendaklah menghindarkan diri daripada perbuatan yang boleh mengurangkan pahalanya agar dapat mencapai matlamat puasa iaitu menambah ketakwaan diri kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. Surah al-Baqarah (183).
2. Mencarut ketika berpuasa
Tidak batal puasa seseorang yang mengeluarkan kata-kata tidak baik seperti berbohong, mengumpat, mencarut, perkataan lucah dan seumpamanya, sama ada di alam maya atau di alam nyata.
Namun, perbuatan tersebut menghilangkan pahala puasa dan tidak tercapai maksud puasa dalam erti kata yang sebenar.
Hakikat ibadah puasa yang dilaksanakan adalah untuk mencapai matlamat ketakwaan dalam diri setiap hamba. Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”. Surah al-Baqarah (183)
Imam al-Maraghi menjelaskan bahawa ayat di atas merupakan perintah Allah SWT tentang kewajipan berpuasa bagi umat Nabi Muhammad SAW. Segala amal ibadah digandakan pada bulan Ramadan. Oleh itu, umat Islam sepatutnya meningkatkan segala amal ibadah dan mengawal hawa nafsu bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
3. Berbohong ketika berpuasa
Imam Al-Nawawi apabila menjelaskan berkenaan hukum berbohong beliau berkata: ‘’Sesungguhnya telah jelas nas-nas dari Al-Kitab dan juga Al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia adalah antara perbuatan dosa yang buruk serta suatu keaiban yang keji.
Ijma’ para ulama telah berlaku ke atas pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas’’. Rujuk Al–Azkar Al-Nawawiyyah, Al Nawawi (Hlm. 377).
Perbuatan berbohong dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan dosa orang tersebut bertambah beratnya.
Ini kerana, dosa dan pahala seseorang itu boleh berbeza kadar ganjaran dan hukumannya mengikut perbezaan faktor seperti tempat ia dilakukan dan juga masa ia dilakukan.
Justeru, melakukan dosa seperti berbohong dalam bulan Ramadan lebih-lebih lagi dalam keadaan seseorang itu sedang berpuasa menjadikan ianya lebih berat di sisi Tuhan.
Walaupun berbohong tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa tetapi ia perlu dielakkan lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan. Jadikanlah bulan Ramadan sebagai suatu medan mentarbiah diri agar menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.
Baca:
Rupanya tanaman pun perlu kena ‘diugut’, ini antara petua agar pokok cepat berbuah
Pelbagai resipi bubur yang boleh buat di rumah, kombinasi rasa lemak & manis memikat selera
Roti kalau dah habis jangan dibuang tag, boleh guna untuk kreativiti lain