Realtime website trackingweb stats

Tun Mahathir sedia tinggalkan pejuang jika dilantik ketuai Mageran

Oleh ADINDA

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia meninggalkan parti Pejuang yang baharu didaftarkan sekiranya diberikan peranan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Pejuang itu berkata demikian ketika ditanya pengacara Harith Iskandar dalam Program ‘Talk Show Tonight’, pada Rabu.

“Pejuang adalah parti politik. Suatu hari nanti kita akan adakan pilihan raya dan pada masa itu Pejuang akan bertanding. Tetapi yang penting sekarang ialah, kita sudah berdaftar. Jadi, masalah itu selesai.

“Tetapi, pada masa ini kami tidak fokus pada Pejuang. Kami tidak buat apa-apa mengenai Pejuang. Kami tidak cuba untuk jadi PM atau menggulingkan kerajaan.

“Apa yang kami mahu ialah supaya kerajaan menubuhkan badan seperti yang ditubuhkan pada 1969 oleh Tunku Abdul Rahman ketika dia melantik Tun Razak sebagai ketua organisasi Mageran.

“Dan Tun Razak yang menyelesaikan masalah itu, diberi kuasa penuh. Kami ingin lihat tumpuan diberi kepada usaha menyelesaikan masalah tanpa bermain politik.

“Malah, jika saya terlibat dengan cara apa sekali pun, saya sedia letak jawatan dalam Pejuang,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mahu memberikan komitmen sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah berkaitan COVID-19.

Talk Show Harith Iskandar Bersama Tun Dr. Mahathir

“Saya akan memberikan sepenuh usaha untuk menyelesaikan masalah COVID secara sepenuh masa.
“Saya tidak perlu berada dalam Pejuang. Pejuang akan diteruskan, tetapi saya mahu fokus kepada perkara ini.

“Walaupun terdapat cabaran dalam Pejuang tetapi semuanya telah dikendalikan dan apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan objektif Pejuang dibawa oleh semua ahlinya,” ujar beliau.

Dr Mahathir turut mendedahkan beliau bersetuju untuk berjumpa Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas menerima panggilan daripada Menteri Penyelaras PPN itu.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini tidak melayan permohonan Pejuang, namun setelah parti itu membawa isu berkenaan ke mahkamah sejak tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat keputusan dalam masa 14 hari.

“Dia (Tengku Zafrul) mahu tahu apa yang difikirkan saya ketika saya mulakan idea yang kita patut tubuhkan Majlis Pemulihan Negara.

“Dan sekarang mereka (kerajaan) mempunyai ‘majlis’ yang sama. Dan saya rasa mereka mahu tahu apa pelan saya dan minta mahu jumpa saya.

“Saya setuju dan dia (Tengku Zafrul) bertanya bagaimana rancangan saya untuk lakukan sesuatu mengenai peningkatan kes COVID-19.

“Saya bimbang dengan apa yang berlaku kepada orang ramai dan sekiranya saya boleh bantu, saya tidak akan simpan sendiri.

“Sekiranya saya tidak boleh lakukan, sekurang-kurangnya seseorang akan melakukannya. Jadi, saya jawab banyak soalan tentang bagaimana menangani SOP dan vaksin.

“Apa yang dia tanya, saya jawab secara jujur apa idea saya dan dia tulis dalam bukunya,” ujar Dr Mahathir.

Ditanya sama ada beliau ditawarkan sebarang peranan dalam PPN, Dr Mahathir berkata tidak.
“Tidak. Dia (Tengku Zafrul) memberikan saya al-Quran sebagai hadiah. Itu sangat baik. Tiada pelawaan untuk menyertai (PPN), dia cuma tanya saya apa yang perlu dilakukan.

“Saya rasa dia mahu melakukannya tanpa penglibatan saya,” katanya.

Sumber : Astro Awani