Realtime website trackingweb stats

Pasukan KPKT siap siaga hadapi musim banjir susulan Monsun Timur Laut

Oleh SHAZLIN AZIZ

PBT diberi arahan untuk melakukan pemantauan serta penambahbaikan kepada infrastruktur awam di kawasan berisiko banjir susulan peralihan fasa Monsun Timur Laut (MTL) dari November ini hingga Februari 2024.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengumumkan tindakan ini yang melibatkan pengenalpastian kawasan-kawasan seperti parit, longkang, pembetung, dan kolam takungan yang berpotensi mencetuskan banjir.

Langkah ini juga termasuk kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan bagi memastikan aliran air kekal lancar dan berkesan.

KPKT turut menyatakan bahawa projek pembangunan akan dipantau bagi memeriksa keadaan kolam takungan dan keselamatan kawasan pembangunan.

MTL RED Team akan ditempatkan dalam keadaan siap sedia di beberapa negeri bagi memberikan tindakan pantas sekiranya diperlukan dalam operasi penyelamatan.

KPKT menjelaskan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mempersiapkan kekuatan sebanyak 15,639 anggota untuk menghadapi MTL 2023.

Ini termasuklah 13,435 pegawai sepenuh masa (PSM) dan 2,204 pegawai bomba bantuan (PBB) yang kebanyakannya akan berkhidmat tanpa cuti hingga Februari 2024.

JBPM juga telah menyiapkan kekuatan logistik yang mencakupi pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat, dan kenderaan marin.

JBPM telah mengenal pasti sebanyak 4,795 lokasi titik panas banjir berdasarkan data terbuka Jabatan Pengairan dan Saliran serta pemantauan daripada balai bomba seluruh negara.

Dari jumlah tersebut, Sarawak adalah negeri yang mencatatkan jumlah kawasan berisiko banjir tertinggi iaitu 1,034 kawasan, diikuti oleh Kelantan (595), Pahang (554), dan Sabah (520).

Bagi pengurusan bencana banjir, KPKT telah menyediakan Pelan Pengurusan Operasi Pembersihan Sisa Pasca Banjir sebagai panduan bagi semua agensi yang terlibat.

Pelan ini bertujuan memastikan proses pengurusan pembersihan sisa pascabanjir dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.

Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), bersama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta syarikat konsesi, telah bersedia untuk menjalankan operasi pembersihan pascabanjir berdasarkan pelan yang telah disiapkan.

Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan penanganan sisa pasca banjir berjalan dengan lancar dan berkesan.

KPKT menegaskan bahawa tindakan ini diambil dalam usaha untuk mengurangkan risiko dan memberikan keselamatan kepada penduduk tempatan ketika menghadapi ancaman banjir.

Segala usaha ini adalah sebagai persediaan menghadapi ancaman banjir yang mungkin berlaku semasa fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlangsung dari November hingga Februari 2024.