Lain dari yang lain! Tradisi unik sambutan hari raya di negara lain

Oleh ARIF ABDULLAH

Perbezaan budaya dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri di pelbagai negara menampilkan kepelbagaian tradisi yang unik. Setiap negara memperlihatkan corak dan keunikan tersendiri dalam menghayati suasana kegembiraan dan kebersamaan semasa perayaan tersebut.

Antara punca perbezaan dalam cara menyambut Aidilfitri di setiap negara adalah kerana adanya perbezaan budaya serta adat resam yang berbeza-beda di setiap negara, yang memberi kesan unik kepada cara mereka merayakan perayaan tersebut.

Inilah 8 contoh budaya unik sambutan Aidilfitri di luar negara:

Lain dari yang lain! Tradisi unik sambutan hari raya di negara lain

ARAB SAUDI

Arab Saudi, sebuah negara yang kebanyakannya penduduknya beragama Islam, pastinya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh keghairahan. Selain memberikan cuti umum selama 3 hari, perayaan Aidilfitri di Arab Saudi turut diserikan dengan pelbagai acara seni seperti teater, bacaan puisi, perarakan muzik, tarian, dan banyak lagi.

Selain itu, mereka juga dikenali dengan adat di mana lelaki di sana akan memberikan sumbangan makanan secara rahsia kepada golongan yang kurang bernasib baik, tanpa pengetahuan dari penerima sumbangan tersebut.

AFGHANISTAN

Sama seperti di Malaysia, penduduk di Afghanistan juga sangat bersemangat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mereka biasanya bermula membuat persiapan 10 hari sebelum Hari Raya, menghiasi rumah mereka dengan cantik dan meriah. Selain daripada hidangan seperti rendang, lemang, dan ketupat yang kita kenali, mereka juga mempunyai hidangan tradisional seperti Jelabi, Shor-Nakhod, dan Cake wa Kolcha.

Selain itu, mereka turut mengadakan satu permainan unik semasa Hari Raya yang dipanggil ‘Tokhm-Jangi’. Dalam permainan ini, kaum lelaki akan bersaing untuk melemparkan telur rebus berwarna-warni.

Setiap keluarga biasanya merebus kira-kira 200 biji telur untuk permainan ini, dan pemenangnya akan ditentukan berdasarkan bilangan telur yang masih utuh selepas ‘perang telur’ berakhir. Siapa yang dapat menyimpan telur paling banyak, dialah yang menang.

TURKI

Perayaan Hari Raya disebut ‘Bayram’, dan yang membuatnya istimewa adalah setiap kali mendekati Hari Raya, mereka akan mengenakan pakaian tradisi yang disebut Bayramlik. Selain itu, apabila bertemu dengan sesama mereka semasa Aidilfitri, mereka akan mengucapkan salam ‘Bayraminiz Kutlu Olsun’, ‘Mutlu Bayramlar’ atau ‘Bayraminiz Mubarek Olsun’ yang bermaksud selamat menyambut Hari Raya Bayram.

AMERIKA SYARIKAT

Di negara-negara di mana jumlah Muslim adalah lebih sedikit seperti Amerika, di kawasan-kawasan di mana terdapat komuniti Islam yang besar, solat sunat Aidilfitri biasanya akan diadakan beberapa kali untuk menampung jumlah jemaah yang banyak, kerana masjid mereka tidak sebesar dan sebanyak masjid di negara-negara dengan majoriti Muslim.

Sesetengah masjid juga akan menyewa taman supaya lebih banyak jemaah boleh solat sunat Aidilfitri dengan selesa, dan mereka turut mengadakan jamuan makanan sepanjang tiga hari.

CHINA

Di China, tradisi perayaan Aidilfitri adalah lebih ringkas, namun satu simbolik penting ialah kunjungan ke perkuburan Sayyid ‘Ajjak selepas solat sunat Aidilfitri, membaca ayat Al-Quran, dan membersihkan pusara tokoh Islam itu.

INDONESIA

Sambutan di Indonesia hampir sama dengan budaya sambutan kita di Malaysia, namun mereka mempunyai adat yang sangat menarik yang dipanggil ‘Perang Topat’, di mana mereka akan berperang dengan ketupat.

Perang ketupat ini adalah tradisi yang diamalkan di Lombok, Indonesia dan biasanya diadakan pada 7 Syawal. Budaya ini sebenarnya melambangkan perdamaian antara umat Islam dan Hindu di Indonesia.

INDIA

Di India, pada malam ketika bulan baru muncul, ia dikenali sebagai ‘Chaand Raat’ di mana orang Islam berkumpul di padang atau tempat lapang untuk melihat bersama bulan baru. Sambil-sambil itu, mereka akan menghiasi tangan dan kaki dengan inai.

Tambahan pula, mereka juga mengamalkan tradisi yang sama seperti di Malaysia seperti memberi duit raya dan pertukaran makanan manis antara rakan dan saudara.

ITALI

Di Malaysia, biasanya budaya memberi duit raya kepada kanak-kanak yang berkunjung ke rumah-rumah semasa Hari Raya. Namun, di Itali, kebiasaannya mereka akan menerima jajan seperti semasa sambutan Halloween. Seperti di Malaysia, kanak-kanak di sana juga akan berjalan-jalan dari rumah ke rumah pada hari-hari terakhir Ramadan, dan sebelum menerima jajan, mereka juga perlu mengucap salam kepada orang dewasa.

Kesimpulannya, kepelbagaian budaya sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara-negara lain menyediakan pandangan yang menarik tentang bagaimana tradisi dan nilai-nilai keagamaan dapat dihayati dengan cara yang unik oleh masyarakat tempatan di seluruh dunia.

Baca:

Ganti balik belanja ‘dating’ berjumlah RM142 termasuk makan bakso, paksaan lelaki tangkai jering ini melucukan

Warga maya geram tengok realiti sebenar peniaga buang air balang tak terjual dalam longkang

“Saya terkilan..” – 2 tahun berlalu, Dayang selesai rakam lagu terakhir Rudy Imran