Realtime website trackingweb stats

Akal berkembang bergantung apa dimakan, ketahui 5 makanan tingkat kecerdasan otak anak anda

Oleh SHAZLIN AZIZ

Perkembangan akal kanak-kanak banyak bergantung kepada apa yang dimakan. Makanan berkhasiat perlu diberi sejak di usia bayi supaya anak anda dapat membesar, maju dan cepat belajar.

Berdasarkan angka dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada 2020, seramai 149.2 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami masalah bantut (terlalu pendek untuk umur mereka) dan 45.4 juta pula susut berat badan (terlalu kurus untuk ketinggian mereka).

Dalam masa sama, 38.9 juta kanak-kanak mengalami masalah kegemukan iaitu terlalu berat untuk ketinggian mereka.

Itu yang dapat dilihat dari segi luaran, kalau perkembangan otak tentulah lebih kritikal lagi.

Ketahui 5 makanan yang sangat baik untuk merangsang kecerdasan otak anak anda seperti dikongsikan DR. ZUBAIDI AHMAD ini:

1. Daging lembu bebas lemak

Sumber zat besi yang dapat membantu anak kekal bertenaga dalam memberi tumpuan di sekolah. Daging lembu tanpa lemak ialah sumber terbaik zat besi kerana mudah diserap oleh tubuh.

Faktanya, 28 gram daging lembu setiap hari membantu tubuh menyerap zat besi daripada sumber makanan lain. Daging lembu juga mengandung zink yang membantu memelihara daya ingatan.

2. Ikan

Pilih ikan yang mengandungi asid lemak bermanfaat seperti salmon kerana ia sumber terbaik asid lemak omega-3 yang penting untuk fungsi dan pertumbuhan otak anak.

Beberapa kajian juga membuktikan, mereka yang gemar memakan ikan mengandung omega-3 memiliki daya fikiran tajam dan mencatat hasil baik dalam ujian kemampuan mental.

3. Telur

Sumber protein yang murah dan amat berkhasiat. Kuning telur mengandungi kolin yang berkhasiat membantu perkembangan otak.

Biasakan secara rutin memberikan sarapan atau makan malam yang sihat untuk anak anda dengan menu daripada telur.

4. Kacang hijau

Kandungan nutrisinya sangat lengkap. Tinggi kadar protein dan karbohidrat kompleks. Kacang hijau juga memiliki kandungan vitamin C, asid folat, zat besi, zink, potassium, magnesium, tembaga, mangan, fosfor dan tiamin yang semuanya penting bagi tubuh dan perkembangan otak.

5. Sayuran berwarna

Tomato, bayam atau labu ialah makanan yang kaya antioksidan. Makanan ini dipercayai dapat membantu mempertahankan kekuatan dan kesihatan membran sel.

Semakin segar dan cerah warna sayuran, makin tinggi kandungan antioksidannya. Beberapa sayuran juga memiliki manfaat mencegah kanser.

Baca:

Razan Al-Najar gadis Palestin jadi ketakutan Zionis Israel

Tak pernah berlaku kelab bola sepak dihalang ke padang latihan, Kelantan FC kena ‘buli’ dengan Jabatan Pertanian

Ramai kagum tengok Elfira Loy meneran sambil tersenyum, siap dedah petua bidan