Murid ini tiba-tiba jumpa cikgu mintak nak healing tengok movie di sekolah, cikgu layan je siap hidang karipap. Bergelar seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah.
Sungguhpun tanggungjawab hakiki mereka adalah mendidik anak bangsa, namun sebenarnya mereka juga bertindak seperti seorang ibu atau bapa, kaunselor, doktor mahupun pendengar yang setia.
Maka tidak hairanlah guru-guru yang prihatin dan pandai mengambil hati lebih disenangi oleh murid-murid.
Sebagaimana yang dikongsikan seorang guru ini, dia menceritakan kisah salah seorang anak muridnya yang membuat satu permintaan aneh baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran yang dikongsikan di Facebook, guru bernama Asmadi Samad ini berkata, dia tiba-tiba didatangi seorang murid lelaki pada waktu rehat ketika sedang berada di bilik pusat sumber.
Katanya, murid tersebut yang datang berseorangan meminta kebenarannya untuk menonton filem Sea Beast yang sebelum ini tidak sempat ditonton sehingga tamat.
“Mengenangkan memang tayangan movie sempena minggu pusat sumber hari tu tak sempat habis, jadi aku pun benarkan. Aku on LCD dan pasanglah cerita yang dia nak sambung tengok hari tu.
“Tenang dia duduk depan meja sambil mengadap skrin tayangan. Satu demi satu karipap diambil dan disuapkan ke mulutnya. Aku memerhati je dari kerusi belakang.
“Sedap sangat nampak dia mengunyah karipap sambil menonton tayangan percuma. Tapi itulah… langsung tak pelawa. Dia buat tak nampak je aku,” tulisnya dalam nada berseloroh.
Ketika ralit memerhatikan muridnya dari jauh, guru ini berkata situasi tersebut secara tidak langsung membuatkan dia tersedar dan belajar mengenai sesuatu.
Tersentuh baca… mungkin di rumah serba kekurangan atau mungkin benar dia perlu waktu sendirian.
“Aku tengok dia duduk menonton sambil makan karipap tu macam dia tengah menikmati sungguh-sungguh momen tu. Ala-ala healing gitu.
“Agaknya la kan… anak-anak kita ni pun kadang-kadang perlukan masa bersendirian. Mereka juga pasti ada keserabutan tersendiri.
“Mungkin ada masanya kita beri mereka peluang untuk duduk merenung dan berfikir. Biarkan mereka duduk di ‘gua’ mereka buat sementara. Moga mereka kembali ke dunia nyata dengan semangat baru,” tulisnya lagi.
Perkongsian guru tersebut ternyata mengundang perhatian warga maya dan rata-ratanya tersentuh dengan kisah berkenaan.
Sebahagian daripada komen netizen terhadap perkongsian tersebut.
“Tersentuh baca… mungkin di rumah serba kekurangan atau mungkin benar dia perlu waktu sendirian.
“Sedih teringat anak saudara saya. Umur sembilan tahun, anak sulung daripada empat adik beradik. Macam-macam perasaan dia tanggung. Moga sekolah menjadi medium untuk dia healing dan melalui zaman kanak-kanak dgn gembira.
“Semoga semua anak didik kita menjadi yang terbaik emosinya, akhlaknya dan masa depannya… Tahniah cikgu.
“Sekarang saya tahu kenapa anak murid cikgu berani keluarkan apa dalam hati diorang. Cikgu memang seorang cikgu penyayang dan seorang yang memahami. Untungnya anak-anak murid cikgu,” demikian antara komen netizen.
Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 1,700 shares di Facebook.