Realtime website trackingweb stats

Sebulan Pelan Pemulihan Negara berlalu, kemampuan cegah varian delta diragui

Oleh ADINDA

Wan Salman Wan Sallam

Mampukah penularan varian Delta dibendung?

Telah lebih sebulan kebanyakan negeri di Malaysia berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun pertumbuhan angka kes ini dilihat amat membimbangkan. Sehingga hari ini, bilangan kes Covid-19 harian Malaysia telah pun menjangkaui lebih daripada 15,000 sehari.

Dalam laporan lain, Kementerian Kesihatan Malaysia pada 13 Julai lalu menganggarkan terdapat lebih lagi peningkatan kes dalam masa dua minggu akibat penularan varian membimbangkan, termasuk varian delta (Astro Awani, 13 Julai 2021).

Berbanding pada awal pandemik dahulu koronavirus ini dipercayai disebarkan melalui titisan cecair atau droplet, varian delta ini bukan sahaja lebih mudah menular dengan penyebaran udara, malah hanya mengambil masa 15 saat untuk menjangkiti manusia lain (Berita Harian, 15 Julai 2021).

Petugas barisan hadapan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan dibasahi peluh di sebalik pemakaian lengkap peralatan perlindungan peribadi (​PPE) ketika bertugas dalam pengesanan kes aktif bersasar di Labuan baru-baru ini. -Foto BERNAMA

Buat masa ini, dua jalan utama yang membolehkan kita keluar daripada krisis kesihatan awam ini ialah sekatan pergerakan dan perhimpunan, dan mempercepatkan imunisasi kelompok.

Tidak dinafikan, pencapaian Malaysia mencecah vaksinasi melebihi 500,000 penduduk sehari merupakan suatu yang wajar dipuji. Pencapaian ini juga telah meletakkan Malaysia dalam kalangan negara dengan kadar vaksinasi Covid-19 tertinggi di dunia.

Namun begitu, cukup padukah usaha pecutan vaksinasi ini sahaja diharapkan untuk membendung penularan Covid-19 yang makin menjadi-jadi ini?

Tidak dinafikan teori asas imunologi perubatan menerangkan bahawa pengambilan vaksin akan merangsang tubuh badan individu untuk menghasilkan antibodi melawan jangkitan patogen secara aktif, lantas melindungi individu penerima vaksin tersebut.

Tambahan lagi, apabila peratusan populasi sesuatu kawasan mendapat vaksin menjadi tinggi, bukan sahaja yang disuntik vaksin akan mendapat perlindungan, bahkan golongan yang tidak boleh mendapat vaksin (contohnya akibat masalah perubatan atau alahan) juga akan mendapat manfaat perlindungan yang sama.

Hal ini kerana, apabila makin ramai divaksinasi, teori asas imunologi menyatakan bahawa makin sukar untuk suatu patogen itu menjangkiti daripada seseorang individu kepada individu lain, akhirnya mengurangkan penyebarannya secara umum. Teori inilah yang menjadi asas kepada konsep imuniti kelompok.

Sungguhpun teori asas imunologi perubatan itu ideal, secara praktikalnya tidaklah seratus peratus begitu buat masa ini untuk Covid-19.

Keberkesanan vaksin

Buat masa ini, data-data yang telah diberikan dalam panduan vaksin-vaksin yang disyorkan penggunaannya oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah berkaitan peratusan keberkesanan vaksin dalam mencegah jangkitan yang lebih serius.

Sebagai contoh, maklumat yang diperolehi daripada panduan WHO ialah keberkesanan vaksin Covid-19 dalam mencegah jangkitan bergejala. Berdasarkan panduan tersebut, vaksin keluaran Pfizer dilaporkan 95 peratus berupaya mencegah jangkitan bergejala.

Manakala vaksin AstraZeneca dan Sinovac pula masing-masing berada pada tahap keberkesanan 63.09 dan 51 peratus untuk aspek yang sama.  Ketiga-tiga vaksin ini merupakan antara vaksin Covid-19 utama yang diedarkan di seluruh negara buat masa ini.

Namun begitu, menurut WHO juga, sehingga kini belum lagi terdapat data substantif berkenaan keberkesanan ketiga-tiga vaksin ini dalam mengawal penularan jangkitan virus itu sendiri.

Pendek kata, apabila kita membincangkan bahawa vaksin Covid-19 itu berkesan, fokus buat masa ini ialah apa yang vaksin itu mampu lakukan iaitu mencegah jangkitan Covid-19 yang serius.

Oleh sebab itu juga, dalam panduan yang sama, WHO masih mencadangkan kaedah kesihatan awam dan kawalan sosial yang konvensional bagi mengawal penularan tersebut.

Petugas kesihatan menyuntik vaksin COVID-19 keluaran Pfizer-BioNTech secara pandu lalu di PPV Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan. – Foto BERNAMA

Pada peringkat individu, antara langkah yang telah pun dikuatkuasakan ialah pemakaian pelitup muka mandatori dan larangan aktiviti yang melibatkan perhimpunan.

Di samping itu, usaha bagi mempermudahkan pengesanan hubungan rapat dengan mewajibkan rekod keluar masuk pelanggan di premis sama ada secara manual mahupun dengan aplikasi MySejahtera juga telah dijalankan.

Namun begitu, sesuatu yang jauh membezakan Fasa 1 PPN dengan PKP 1.0 dahulu ialah seketat mana pelaksanaan dan kebenaran dibenarkan untuk sesuatu organisasi beroperasi.

Data dan kluster

Sesuatu yang perlu sangat diberi perhatian ialah statistik taburan kes itu sendiri. Pada 6 Julai yang lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham sendiri mengakui bahawa 60 peratus kes daripada kluster tempat kerja adalah daripada kilang (Malaysiakini, 6 Julai 2021).

Namun begitu, masih ada pihak yang menyatakan bahawa penutupan kilang-kilang daripada terus beroperasi tidak menyelesaikan masalah.

Sungguhpun jika sebahagian besar pekerja kilang ini diberi imunisasi sekalipun, hal ini tidak menjamin pengurangan penyebaran jangkitan kerana buat masa ini, sebagaimana yang diterangkan di atas, data substantif belum mencukupi bagi menyokong kemampuan vaksin Covid-19 mampu mengekang penyebaran penyakit tersebut.

Tidak dapat tidak, tindakan paling masuk akal buat masa ini ialah mengawal salah sumber penyebaran jangkitan major seperti menutup operasi kilang-kilang yang  bukan sahaja mudah untuk dikuatkuasakan oleh kerajaan, malah mengena pada sasaran yang betul kerana, sekali lagi, sebahagian besar jangkitan datangnya daripada sumber tersebut.

Selain itu, terdapat juga pertimbangan daripada pihak kerajaan bagi melonggarkan sedikit kawalan pergerakan bagi mereka yang telah lengkap dua dos vaksin.

Jika pertimbangan kelonggaran tersebut melibatkan kelonggaran merentas daerah atau negeri, cadangan tersebut perlu diperhalusi secara terperinci.

Walaupun benar kelonggaran tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan untuk rakyat dek tekanan dalam kawalan pergerakan yang merimaskan, perincian tersebut haruslah mempertimbangkan juga kebarangkalian untuk penyebaran jangkitan yang masih belum sifar peratus.

Walaupun ada benarnya mereka yang lengkap dos vaksinasi adalah lebih terlindung daripada jangkitan serius, risiko untuk mereka dijangkiti secara tidak serius masih ada seterusnya menjadikan mereka ini penyebar jangkitan yang mungkin serius untuk mereka yang belum divaksinasi atau kepada golongan berisiko tinggi seperti golongan tua.

Mungkin ada yang mengatakan jika sebahagian besar populasi Malaysia cukup dua dos vaksinasi nanti, kita akan boleh hidup normal semula walaupun  dengan Covid-19 kerana jika terjangkiti pun tidaklah serius mana penyakit itu.

Maka apalah salahnya ketika itu kilang pun dibuka, kelonggaran pun diberi, bukan?

Malangnya, virus ini tidaklah semudah itu untuk ditanggapi ancamannya.

Mutasi virus

Umum mengetahui, virus ini telah pun bermutasi sehingga munculnya varian Delta. Setakat ini, kita masih mampu menarik nafas lega kerana walaupun varian delta ini lebih mudah merebak, varian ini belum terbukti menyebabkan jangkitan yang lebih teruk berbanding varian lain.

Namun, hal ini tidak bermaksud mutasi virus ini boleh terhenti begitu sahaja. Selagi mana virus ini boleh bergerak menjangkiti daripada suatu individu kepada individu lain, virus ini masih ada ruang dan peluang yang luas untuk bermutasi.

Oleh sebab belum ada bukti kukuh vaksin Covid-19 mampu mengekang penyebaran virus ini dengan utuh, kita masih perlu percaya bahawa kebarangkalian untuk penyakit ini masih tersebar juga luas, maka kebarangkalian virus ini terus bermutasi menjadi varian baharu juga ada.

Buat masa ini, kita mungkin masih terselamat kerana varian Delta tidak mampu menyebabkan jangkitan yang teruk. Namun apa akan jadi jika suatu hari nanti timbul varian baharu yang menyebabkan jangkitan yang jauh lebih ganas jangkitannya?

Setakat ini, jenis vaksin yang diyakini dapat melindungi individu daripada jangkitan Covid-19 yang teruk jika terdapat mutasi baharu ialah vaksin jenis mRNA seperti Pfizer. Namun begitu, buat masa ini, hanya sebilangan kecil sahaja yang mendapat imunisasi dengan vaksin tersebut.

Hal ini bermakna, sebahagian besar individu lain juga masih belum mampu mendapat jaminan dilindungi sepenuhnya andai kata terjadinya mutasi baharu yang lebih bahaya.

Mahu tidak mahu, walaupun vaksin Covid-19 buat masa ini terbukti dapat mengelakkan jangkitan serius, seharusnya ancaman virus ini masih dapat bermutasi dengan adanya jangkitan adalah sesuatu yang harus ditanggapi secara serius.

Di United Kingdom sendiri contohnya, walaupun kekangan pergerakan sudah pun dilonggarkan kerana beban terhadap sistem kesihatan telah makin ringan, pakar-pakar kesihatan di sana masih mengkritik kelonggaran yang diberikan kerana membiarkan peningkatan kes jangkitan juga bukanlah suatu tindakan yang bijak kerana tindakan ini juga datang dengan ancaman kesihatan awam yang lain juga.

Kesimpulannya di sini, walaupun vaksin Covid-19 terbukti dapat mengurangkan bebanan merawat jangkitan yang serius, hal ini tidak sepatutnya membuatkan kita terus alpa daripada melakukan kawalan kendiri.

Malah, berbekalkan fakta ini, kerajaan seharusnya memperkasakan kaedah kesihatan awam yang konvensional seperti kawalan pergerakan yang lebih ketat agar bukan sahaja kes serius sahaja berkurangan, malah bilangan jangkitan itu sendiri juga terus  berkurangan agar penyakit ini terus tiada ruang untuk menjadi lebih ganas pada masa akan datang.

 

 

Penulis ialah aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia kawasan Bandar Tun Razak.