Rumah mampu milik? Tapi ramai tak mampu beli. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan agar segera meneliti dan menyemak semula semua dasar berkaitan perumahan mampu milik. Ini penting bagi memastikan projek yang dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan rakyat – bukan hanya gah di atas kertas tetapi kosong sambutan.
Menurut laporan Berita Harian, FOMCA menegaskan bahawa projek rumah mampu milik yang gagal terjual semakin membimbangkan, membuktikan ada sesuatu yang tak kena dengan pendekatan semasa.
“Mampu Milik? Tapi Ramai Tak Mampu Beli”
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr T Saravanan, berkata istilah “mampu milik” yang digunakan sekarang sering kali mengelirukan. Walaupun harganya lebih rendah dari pasaran biasa, ramai dalam kalangan B40 dan M40 masih tidak mampu memilikinya kerana mengambil kira:
- Ansuran bulanan
- Kos sara hidup yang tinggi
- Komitmen kewangan sedia ada
“Nama sahaja rumah mampu milik, tapi realitinya ramai rakyat hanya mampu tengok. Bila kos tambahan seperti pengangkutan dan masa perjalanan diambil kira, harganya jadi tidak masuk akal,” tegas beliau.
Cadangan Penubuhan Majlis Perumahan Mampu Milik
Bagi mengatasi masalah ini, FOMCA mencadangkan agar satu entiti khas seperti Majlis Perumahan Mampu Milik ditubuhkan. Entiti ini akan menyatukan input daripada pelbagai pihak – kerajaan, pemaju, pakar ekonomi dan pertubuhan pengguna – bagi menilai semula dasar sedia ada.
“Kita perlukan pendekatan yang berpaksikan realiti rakyat, bukan semata-mata angka atas kertas,” kata Saravanan.
Lokasi & Fasiliti Tak Strategik, Rumah Terbiar
Satu lagi sebab mengapa banyak projek rumah mampu milik tidak laku adalah kerana lokasinya yang terpencil, jauh dari bandar dan kurang kemudahan asas seperti sekolah, klinik, tempat kerja atau pengangkutan awam.
Akhirnya, walaupun harga rumah lebih rendah, kos hidup di kawasan itu jadi tinggi – dari segi masa perjalanan, kos minyak, dan kualiti hidup.
Cadangan Bina Pangkalan Data Nasional
FOMCA juga menyarankan agar kerajaan membina satu sistem pangkalan data menyeluruh yang mampu mengenal pasti dengan tepat:
- Jumlah individu yang benar-benar perlukan rumah
- Julat harga yang mereka mampu miliki
- Jenis dan saiz rumah yang sesuai dengan keperluan keluarga
“Ukuran kejayaan bukan pada bilangan rumah dibina, tapi berapa ramai rakyat yang benar-benar mampu tinggal dan hidup selesa di rumah itu,” jelas Saravanan.
BACA JUGA :
Pemandu warga China rempuh rumah orang
Aliff Syukri luah beban miliki rumah besar, kos penyelenggaraan cecah ratusan ribu!
Lelaki Terkejut, Bekas Pemilik Rumah Sembunyi di Ruang Bawah Tanah Selama 7 Tahun!