Sejak bermulanya PKP yang pertama pada Mac 2020, pemimpin politik pembangkang dan ahli-ahli pemikir dalam masyarakat terus memberikan idea dan cadangan penyelesaian secara konsisten kepada kerajaan. Malangnya, kerajaan tetap degil malah kerap mengulangi kesilapan yang sama.
Lebih daripada 100 orang pimpinan anak muda daripada pelbagai parti politik antaranya AMANAH, DAP, MUDA mendesak Kerajaan Perikatan Nasional untuk memanggil persidangan Parlimen dengan segera untuk menangani pandemik COVID-19 menerusi pendekatan dwipartisan sebenar.
Dalam kenyataan bersama itu juga dinyatakan, menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang ditubuhkan pada tahun lepas, Parlimen berupaya menjadi medan kerjasama tulen antara pelbagai parti, terutamanya bagi menyelaras usaha memerangi pandemik secara bersama. Jawatankuasa-jawatankuasa ini perlu diberikan sumber dan tenaga kerja yang secukupnya serta akses menyeluruh kepada data-data dan pakar-pakar merentasi bidang.
Pelbagai kepincangan dan percanggahan arahan antara kementerian serta pelaksanaan SOP yang carca merba menjadi tuntutan tegas mereka supaya Jawatankuasa Khas Parlimen ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya meskipun Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengambil alih pengurusan COVID-19 sejak Mac 2020.
Para pimpinan muda ini turut bersama menyatakan alasan pengurusan wabak yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional kepada Proklamasi Darurat dan penggantungan Parlimen, langkah ini jelas hanyalah satu wayang politik mereka apabila kes Covid-19 bertambah meruncing dengan kes kematian mencecah lebih 100 orang setiap hari.
Dalam tuntutan akhir, kerajaan didesak sekali lagi untuk membuka semula ruang demokrasi supaya satu rancangan menyeluruh dapat dibentuk bagi mengemudi negara keluar daripada kancah Covid-19 yang berpanjangan. “Kerajaan perlu terima, era kerajaan tahu segala-galanya telah berakhir. Sekarang adalah masanya kerajaan mengakui kelemahan diri dan menerajui pendekatan masyarakat menyeluruh (whole-of-society approach) yang sebenar-benarnya dengan memanggil persidangan Parlimen”.