KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Menurut beliau, kemajuan negeri tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan kesetiaan penjawat awam yang menjadi tulang belakang sistem penyampaian kerajaan.
“Dedikasi mereka menjadi kekuatan utama yang memastikan perkhidmatan kepada rakyat sentiasa berfungsi. Atas jasa dan pengorbanan itu, kerajaan negeri berbesar hati menyalurkan BKK sebanyak dua bulan gaji yang akan dibayar dalam dua fasa tahun hadapan,” katanya.
Bantuan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM48 juta.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan RM3.75 juta bagi pelaksanaan Insentif Khas Pahang 1st, iaitu pemberian RM200 secara one-off kepada 18,743 penjawat awam Persekutuan di Pahang yang berpendapatan bawah RM3,000 sehingga 31 Disember ini.
Wan Rosdy turut menyeru penjawat awam negeri dan Persekutuan agar terus bersama kerajaan negeri dalam memperkukuh integriti, meningkatkan prestasi dan mempertahankan fakta apabila berdepan persepsi dan maklumat mengelirukan.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memperkenalkan beberapa inisiatif sosial bagi menyokong golongan memerlukan. Antara yang diumumkan ialah bayaran one-off RM300 kepada pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), membabitkan peruntukan RM468,000.
Kerajaan Pahang juga mengekalkan bantuan one-off RM500 kepada setiap penyelia dan petugas PPDK, dengan peruntukan RM150,000.
Bagi mempergiat usaha memerangi penyalahgunaan dadah, sejumlah RM75,000 masing-masing disalurkan kepada PEMADAM dan PENGASIH, manakala RM150,000 diberikan kepada Drugs Intervention Community (DIC) untuk pelaksanaan program pendidikan dan kesedaran antidadah di seluruh negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan sebuah Kompleks Komuniti baharu di Lipis dengan kos RM10 juta, sebagai usaha menyediakan kemudahan sosial yang lebih inklusif kepada penduduk setempat.