Roh Ayah Pin nampaknya ‘menghantui’ kembali Pantai Timur Semenanjung walaupun sudah 8 tahun kematiannya apabila ‘Kerajaan Langit’ berjangkit sampai ke dua daerah di Pahang.
Pengikut-pengikut ajaran Ayah Pin dikatakan bukan sahaja kembali mengukuh di kawasan asalnya, Kampung Batu 13, Hulu Besut.
Bahkan, ajaran sesat itu dilapor mula menular ke kawasan-kawasan lain termasuk Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, risikan pihak berkuasa mendapati ajaran sesat itu sudah mula bertapak di Pekan dan Rompin, Pahang.
“Ajaran Ayah Pin yang mahu dihidupkan semula oleh pengikut-pengikut setianya ini dipercayai telah merebak ke pekan Jertih berhampiran malah Pekan dan Rompin, Pahang.
“Gerakan menghidupkan semula ‘Kerajaan Langit’ tersebut dipandang serius oleh kerajaan negeri Terengganu,” katanya, lapor Kosmo!
Tambah mengejutkan apabila pengikut-pengikut Ayah Pin dikatakan masih percaya lelaki berkenaan yang telah meninggal dunia pada usia 74 tahun itu kononnya masih wujud.
Walhal, Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad telah meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 April 2016.
Sehubungan itu, Riduan berkata, tindakan tegas akan diambil bagi mengekang ajaran sesat tersebut dan kerajaan negeri Terengganu tidak akan berkompromi.
“Usaha, membendung ajaran sesat Ayah Pin ini sama pernah dilakukan kerajaan negeri Selangor terhadap ajaran Qadiani,” katanya.
Jelasnya, dia difahamkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAT) telah bekerjasama dengan polis untuk memantau penularan semula ajaran yang telah difatwakan sesat dan haram pada tahun 1997 itu.
“Ajaran ini berbahaya kerana pengikut Ayah Pin pernah mengistiharkan murtad semata-mata mahu mengelak dikenakan tindakan perundangan oleh Mahkamah Syariah Besut pada tahun 2005.
“Ia perlu dibendung segera kerana berdasarkan sejarah, ajaran ini mudah mempengaruhi ramai pihak dan mendapat dukungan pihak luar kononnya atas dasar hak asasi manusia,” katanya.
Pada Jumaat, 15 Mac lalu, Pejabat Agama Islam Daerah Besut mengumumkan mengenai ancaman gerakan Ayah Pin di masjid-masjid daerah itu agar masyarakat lebih berhati-hati.
Sebelum ini, Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat yang merupakan Imam Masjid Gong Pasir, Besut mendedahkan percubaan pihak tertentu menghidupkan ajaran terpesong itu.
Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 pada tahun 1997.
Baca:
Jom cuba DIY pewangi rumah guna 3 bahan ini, badan letih pun boleh jadi segar
Tanam sendiri daun bawang ‘confirm’ sedap & manis, boleh petik bila-bila masa
Kelebihan ‘celtic salt’ yang ramai tak tahu, boleh amalkan pada bulan Ramadan elak perkara ini