Kebisingan di media sosial bermula sejak Sabtu berkenaan rakaman menunjukkan seorang pempengaruh bersama seorang rakan melangkah di atas kubur.
Dalam video selama 37 saat itu, kedua wanita itu nampak gembira melakukan aksi itu berulang kali, yang didakwa berlaku di tanah perkuburan Islam.
Tidak hanya sekadar melangkah di atas kubur berulang kali, mereka juga terdengar ketawa semasa melakukan aksi tersebut.
“Orang selalu kata, kalau kita langkah kubur… malamnya tuan kubur akan cari kita,”
suara seorang wanita dalam video itu, yang mendapat kritikan ramai kerana tingkah laku biadab di kawasan tanah perkuburan.
Rakaman itu dikatakan berlaku di tanah perkuburan Islam.
Selepas menerima pelbagai kecaman dan kritikan, salah seorang wanita dalam video itu memberi penjelasan bahawa kubur yang mereka langkah adalah kubur palsu untuk tujuan pemasaran.
Katanya, mereka sedang menjalani penggambaran filem pendek tentang dua rakan yang tidak percaya makhluk halus dan adegan ‘langkah kubur’ merupakan sebahagian daripada cerita.
“Itu kubur palsu. Jadi kita buat kubur baharu, dalam tu tak ada orang. Itu tanah lapang, kita korek dan papan nisan tu kita pacak untuk nampak macam kubur.
“Jadi, ia dibuat untuk tujuan penggambaran,” katanya dalam video penjelasan di TikTok.
Wanita itu mengakui video asal yang memaparkan aksi mereka melangkah kubur berulang kali itu mendapat kecaman dan fitnah ramai.
“Jangan risau, tak ada orang dalam kubur tu. Kami pun tak gila lagi nak langkah kubur orang.
“Kami masih tahu adab, tahu rasa hormat pada orang yang masih hidup mahupun telah meninggal dunia,” katanya, sambil menambah mereka tidak mempunyai video di sebalik pembikinan kubur palsu itu yang diwujudkan untuk tujuan penggambaran.
Walau bagaimanapun, wanita itu memohon maaf kepada penduduk kampung kerana menggunakan kawasan di sebuah tanah perkuburan untuk tujuan penggambaran.
“Untuk tanah perkuburan yang kami gunakan, kami mohon maaf kepada penduduk kampung, kami tiada niat untuk kurang ajar di tanah perkuburan,” katanya.
Wanita itu tidak mendedahkan lokasi tanah perkuburan yang digunakan dan juga tidak menjelaskan sama ada mereka mendapat kebenaran untuk melakukan penggambaran di situ.
Di ruangan komen, kebanyakan netizen mengkritik tindakan mereka yang dianggap tidak menghormati kawasan tanah perkuburan.
“Kubur palsu pun di kawasan perkuburan.
“Adab tetap adab, apa pun di kawasan perkuburan.
“Lain kali jangan buat sesuatu yang mendatangkan fitnah kepada diri sendiri,” komen seorang netizen.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menziarahi kubur adalah amalan mulia kerana ia mengingatkan seseorang tentang kematian atau akhirat.
Namun, masyarakat perlu mematuhi adab-adab semasa menziarahi kubur.
“Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam agama ini supaya setiap perkara yang kita lakukan dan amalkan selari dengan ajaran Nabi SAW,” menurut kenyataan itu.
BACA: Menabung cara ini paling sesuai untuk orang boros, ini kaedahnya