KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kerajaan memberi jaminan bahawa stok bekalan makanan asas negara berada pada tahap mencukupi walaupun dunia berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata setakat ini rantaian bekalan makanan negara tidak terjejas secara langsung memandangkan sebahagian besar sumber import Malaysia tidak melalui laluan konflik di Selat Hormuz.
Menurut beliau, pemantauan berterusan dilakukan oleh kementerian bagi memastikan bekalan makanan utama negara kekal stabil.
“Rakyat tidak perlu bimbang. Bekalan makanan dalam negara berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh lima hingga enam bulan akan datang.
“Orang ramai juga boleh menyambut Aidilfitri dengan tenang kerana bekalan dijangka stabil sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas hari ini.
Tambah beliau, Kabinet turut bersetuju untuk meningkatkan stok simpanan beras negara bagi memastikan bekalan mencukupi sehingga tempoh sembilan bulan sebagai langkah persediaan tambahan.
Mohamad berkata berdasarkan pemantauan semasa, bekalan barangan makanan utama seperti beras, ayam, daging, telur, ikan, susu segar serta sayur-sayuran dan buah-buahan masih berada dalam keadaan mencukupi.
Beliau menjelaskan Malaysia turut mendapat kelebihan dari segi sumber import yang pelbagai, termasuk dari negara ASEAN, India, Pakistan, Australia dan New Zealand.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan konflik berpanjangan boleh memberi kesan kepada kos logistik dan pengangkutan global yang seterusnya berpotensi mempengaruhi harga barangan di pasaran.
Bagi membantu rakyat berdepan kemungkinan tersebut, kementerian akan memperluaskan lagi pelaksanaan program jualan terus kepada pengguna.
Antara inisiatif yang akan diperkukuh termasuk Jualan Agro MADANI serta Jualan Rahmah yang menawarkan barangan makanan pada harga lebih rendah.
“Melalui program ini, rakyat boleh mendapatkan barangan dengan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Dalam masa sama, Mohamad turut menggalakkan orang ramai menghidupkan semula amalan menanam tanaman makanan di kawasan rumah sebagai langkah tambahan bagi meningkatkan ketahanan makanan keluarga.
Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan semangat Kempen Buku Hijau yang pernah diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.
Beliau turut menggesa pegawai kementerian yang mempunyai ruang tanah di kediaman masing-masing untuk memulakan tanaman jangka pendek seperti cili, terung dan kucai yang boleh dituai dalam tempoh singkat.
“Kita tidak tahu bila konflik antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran ini akan berakhir. Jadi usaha menanam sendiri tanaman makanan boleh menjadi satu bentuk persediaan tambahan selain bekalan yang telah dijamin kerajaan,” katanya.