Jambatan bernilai 37 billion runtuh lepas 14 hari siap. Sebuah jambatan baharu yang sepatutnya menjadi mercu tanda kemajuan infrastruktur di Wilayah Tay Ninh runtuh secara mengejut pada Ahad lalu, hanya dua minggu selepas dirasmikan, lapor portal VNExpress.
Kejadian mengejutkan itu bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang tahap kualiti pembinaan, tetapi turut menyebabkan tujuh orang cedera apabila beberapa kenderaan terjunam ke dalam lubang sedalam 3 meter yang tiba-tiba muncul di bahagian jambatan tersebut.
RM6 Juta Lesap, Infrastruktur Gagal
Jambatan tersebut, yang panjangnya 450 meter dan selebar 12 meter, dibina dengan kos lebih 37 bilion dong (sekitar RM6 juta). Malangnya, ia hanya sempat digunakan selama dua minggu sebelum runtuh sebahagiannya.
Kenderaan Terjunam, Mangsa Cedera
Tragedi berlaku sekitar 4 pagi waktu tempatan apabila Nguyen Van Tinh, 43 tahun, sedang memandu bersama tiga penumpang lain. Tanpa amaran, kenderaan mereka terjunam ke dalam lubang besar, lalu terbalik dan mengalami kerosakan teruk.
Dalam masa yang sama, dua buah motosikal yang membawa tiga penunggang turut menjadi mangsa. Semua mereka dikejarkan ke Hospital Besar Tay Ninh untuk rawatan lanjut.
Hujan Lebat Didakwa Punca, Tapi…
Menurut Le Ngoc An, Pengerusi Jawatankuasa Rakyat Daerah Chau Thanh, hujan lebat berterusan sejak beberapa hari mungkin menjadi faktor yang menyumbang kepada kejadian itu.
Namun, insiden sebegini pastinya menimbulkan persoalan besar terhadap kualiti struktur dan proses pemantauan projek, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku hanya beberapa hari selepas pembukaan rasmi.
Laluan Ditutup, Penduduk Dinasihat Guna Jalan Alternatif
Susulan kejadian, pihak berkuasa tempatan menutup laluan jambatan itu serta-merta dan mengarahkan penduduk menggunakan jalan alternatif sementara siasatan dijalankan dan kerja-kerja pembaikan dilakukan.
Rakyat Mahu Jawapan, Bukan Alasan
Insiden ini telah mencetuskan kemarahan orang ramai di media sosial Vietnam, yang menuntut penjelasan dan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam projek tersebut.
Adakah hujan semata-mata patut dipersalahkan, atau wujud kecuaian dalam pembinaan dan pengawasan projek awam? Jawapan kepada persoalan itu kini dinantikan seluruh rakyat Vietnam.
BACA JUGA :
Dinding Mydin Manjoi tiba-tiba runtuh
Tanah runtuh di Cameron Highland, jalan Habu- Tea Boh ditutup