GEORGETOWN: Feri Pulau Pinang yang dilaporkan separa tenggelam selepas air memasuki lubang serta memenuhi ruang enjinnya, berjaya diapungkan semula, semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng, berkata feri ikonik itu diapungkan semula kira-kira jam 10 malam tadi.
“Bagaimanapun, pasukan pembaikan akan terus memantau dan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas feri itu untuk mengelakkan kejadian serupa daripada berulang.”
“Sebaik saja kerja pembaikan selesai, feri berkenaan akan ditempatkan di Tanjung City Marina, dan dijadikan muzium terapung,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau.
Teik Cheng sekali gus mengucapkan terima kasih kepada pasukan terbabit atas usaha pembaikan dilakukan dan tindakan profesionalisme mereka.
Sabtu lalu, beberapa gambar menunjukkan Feri Pulau Pinang yang berkeadaan separa tenggelam, tular dalam media sosial sehingga menyebabkan ramai menyuarakan kebimbangan akan nasib feri ikonik yang kaya dengan nilai warisan itu.
Media sebelum ini melaporkan terdapat beberapa lubang pada feri telah berusia itu yang kini berlabuh di limbungan Bagan Dalam, Butterworth, menyebabkan air masuk serta memenuhi ruang enjinnya.
Insiden berkenaan mengakibatkan feri terbabit ‘condong’ sebelah.
Feri Pulau Pinang yang sudah berusia itu tidak lagi beroperasi sejak akhir 2019.
Berikutan ketiadaan alat ganti dan enjinnya tidak lagi dapat dibaiki, feri berkenaan dihantar ke limbungan pada 27 November 2019.
Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
[email protected]