Sekarang, usia muda pun ramai berisiko kena serangan strok atau angin ahmar. Tambah pula, amalan pemakanan sihat tidak dihiraukan.
Lebih memburukkan keadaan apabila malas bersenam menyebabkan paras kolesterol tinggi sehingga menjadi obes dan menderita salur darah jantung tersumbat.
Pemakanan yang tinggi lemak tepu boleh menyebabkan pengumpulan plak kolesterol dalam salur darah, seterusnya menyempitkan salur darah dan mengehadkan aliran darah.
Jadi, apa patut anda buat apabila doktor mengesahkan tahap ‘kolesterol jahat’ lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) anda sudah tinggi?
Ingat, LDL mempunyai kecenderungan untuk melekat di dinding arteri iaitu salur darah yang akan menyebabkan salur darah tersumbat dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.
Oleh itu, menurunkan paras kolesterol LDL akan mengurangkan risiko penyakit jantung.
Pengekalan tahap kolesterol dalam peringkat yang normal adalah penting untuk memperoleh kebaikan maksimum.
Mahu tidak mahu, pola makan kena ubah dan perlu lebih ‘cerewet’ dengan apa dan berapa banyak yang dimakan.
Pemakanan yang sihat ini tidak guna banyak kos pun.
Pertama, berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu secara tidak langsung dapat mengawal pemakanan sekali gus tahap kolesterol.
Tapi janganlah masa berbuka nanti, tidak ingat dunia dengan hidangan melimpah meja pula.
Kedua, gunakan tapak tangan sebagai ukuran bagi membantu mengawal pengambilan makanan yang dinikmati setiap hari.
Contohnya, ambil satu hidangan daging atau ikan mengikut saiz tapak tangan sendiri. Jangan pula guna tapak tangan rakan anda yang lebih besar.
Ketiga, jangan remehkan makan buah-buahan. Pastikan anda menjamah saiz hidangan buah segar sebesar penumbuk sebagai pelengkap juadah.
Amalkan diet seimbang dengan menyediakan sayuran, nasi atau pasta bersesuaian dengan saiz tapak tangan yang dibentuk melengkung seperti cawan.
Baca:
Caprice upah ‘bodyguard’ khas jaga keselamatan Mondy, bahaya selagi kes tak selesai
Terkejut bunyi mercun dinyalakan jiran, bayi meninggal dunia secara tragis, maaf pun dah tak guna