Realtime website trackingweb stats

Di mana Rafah dan kenapa rejim Zionis sasar kubu terakhir perlindungan rakyat Palestin?

Oleh FATIN AQILAH

Konflik Israel dan Palestin sudah berlarutan selama lebih 75 tahun.

Daripada sebuah negara berdaulat yang berkeluasan 6,020 kilometer persegi di Timur Tengah dan terletak antara Laut Tengah serta Sungai Jordan, wilayah Palestin merangkumi Tebing Barat dan Genting Gaza dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Bagaimanapun pusat pentadbirannya kini terletak di Ramallah. Serangan demi serangan yang berlaku ke atas negara tersebut membuatkan rakyat Palestin kini mendapatkan perlindungan di kota terbesar mereka iaitu di Rafah.

Namun ketika rakyat Palestin berlindung di kubu terakhir mereka itu, rejim Zionis menyasarkan pula bandar di Selatan Gaza tersebut selepas mendakwa pejuang sayap Hamas berpangkalan di kawasan yang bersempadanan dengan Mesir itu.

Mari kita kenali enam fakta menarik tentang Rafah yang menjadi tempat perlindungan rakyat Palestin sekarang.

Di mana Rafah dan kenapa rejim Zionis sasar kubu terakhir perlindungan rakyat Palestin?

Lokasi Rafah

Terletak 30 kilometer di selatan Gaza, Rafah kini menjadi tempat perlindungan bagi lebih daripada 1.5 juta orang rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.

Mereka berlindung daripada serangan Israel sejak 7 Oktober 2023.

Bagaimanapun jumlahnya semakin berkurang berikutan angka kematian yang meningkat akibat serangan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Malah, hospital dan kemudahan kesihatan turut dimusnahkan.

Fungsi asal Kota Rafah

Dari pertengahan 1930-an British meningkatkan kawalan sempadan dan Rafah berkembang sebagai sebuah bandar sempadan kecil yang berfungsi sebagai pusat perdagangan dan perkhidmatan untuk penduduk Beduin.

Semasa Perang Dunia Kedua ia menjadi pangkalan British yang penting. Berikutan Perjanjian Gencatan Senjata 24 Februari 1949, Rafah terletak di Gaza yang diduduki Mesir dan akibatnya, sempadan Gaza-Mesir tidak lagi wujud.

Dalam Perang Enam Hari 1967, Israel menakluki Semenanjung Sinai dan Semenanjung Gaza daripada Mesir dan semua bandar itu kini berada di bawah pendudukan Israel.

Pada tahun 1979, Israel dan Mesir menandatangani perjanjian damai bagi mengembalikan Sinai, yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza, kepada kawalan Mesir.

Dalam Perjanjian Damai, sempadan Gaza-Mesir yang dicipta semula telah dilukis merentasi bandar Rafah.

Persempadanan semula selepas perjanjian damai 1979

Apabila Israel berundur dari Sinai pada tahun 1982, Rafah berpecah kepada bahagian Gaza dan Mesir, di mana teras bandar telah dimusnahkan untuk mewujudkan zon penampan yang besar.

Rafah adalah tapak Penyeberangan Sempadan Rafah, satu-satunya titik persimpangan antara Mesir dan negara Palestin.

Bandar tersebut juga pernah memiliki lapangan terbang yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Yasser Arafat dan telah beroperasi dari 1998 hingga 2001 sebelum ia dibom dan dibongkar oleh tentera Israel.

Tragedi berdarah dalam tempoh 75 tahun konflik

Pada musim panas tahun 1971, IDF di bawah Jeneral Ariel Sharon menghancurkan kira-kira 500 rumah di kem pelarian Rafah untuk membina laluan bagi pasukannya. Serangan tersebut menyebabkan hampir 4,000 orang dipindahkan.

Kemudian pada tahun 1989, berlaku penembakan lima orang awam oleh tentera sempadan Israel di Rafah.

Pada tahun 2004 pula, kerajaan Israel yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ariel Sharon melakukan pencerobohan ke atas rumah-rumah orang awam di Rafah.

Pelarian Palestin berlindung di Bandar Rafah

Menurut laporan Al Jazeera, Rafah kini mempunyai keluasan 64 kilometer persegi, dan semasa Israel menyerang Gaza selama empat bulan yang lalu, semakin ramai orang awam dipindahkan ke wilayah sempadan ini.

Lebih kurang 1.4 juta penduduk Palestin telah berpindah ke Rafah disebabkan oleh pengeboman berterusan Israel yang telah meragut nyawa hampir 30,000 penduduknya.

Walaupun kerajaan Israel mengisytiharkan bahagian selatan Gaza sebagai zon selamat, tentera rejim Zionis terus mengebom kawasan tersebut dengan meluas.

Berdasarkan laporan media antarabangsa, bom seberat 2,000 paun dianggarkan telah dijatuhkan sebanyak 200 kali pada 21 Disember 2023.

Wilayah sempadan yang penting

Rafah adalah satu-satunya lokasi persimpangan sempadan antara Gaza dan Mesir.

Akibatnya, ia menjadi kawasan penting untuk memudahkan akses bantuan seperti perkhidmatan perubatan, bekalan makanan dan sebagainya kepada penduduk Palestin.

Oleh itu, penduduk Palestin sering menghadapi kesukaran apabila sempadan Rafah ditutup atau disekat oleh rejim Zionis.

Baca:

Kepada peminat kereta ‘Type-H’, model baru dilancar hari ini, harga mula RM85,900

Bagus dimakan tapi ramai tak gemar makan, ini cara hilangkan rasa pahit peria, mudah je

Dah 2024 masih ada lagi murid tiada kelengkapan kerusi & meja belajar punca Ketua Pemuda Umno ‘mengamuk’