Pengarah dan penulis skrip Anwar Rusdini mendakwa dia telah disingkirkan daripada pasukan Konsert Qalam
oleh penyanyi Noraniza Idris, yang akan berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka pada bulan September depan.
Anwar, 33, mendedahkan bahawa penyingkirannya berlaku kerana dia sering mendesak agar wang deposit dibayar
untuk kerja penulisan skrip dan tugasan sebagai pengarah persembahan yang telah diberikan kepadanya.
Menurut Anwar, sehingga kini dia belum menerima sebarang deposit, malah disingkirkan selepas beberapa kali meminta wang tersebut.
“Apabila saya serahkan quotation, dia (Noraniza) mengatakan bahawa dia perlu mengadakan mesyuarat dahulu. Saya minta surat perjanjian juga dia berdalih.
“Sehingga 6 Ogos, saya belum menerima sebarang pembayaran. Saya telah memberitahunya bahawa saya tidak akan meneruskan kerja selagi wang pendahuluan tidak dibayar.
“Akhirnya, dia menyingkirkan saya daripada pasukan persembahan,” katanya ketika dihubungi menurut laporan mStar.
Anwar turut memberitahu bahawa dia telah menerima tawaran untuk bekerjasama dengan Noraniza pada bulan Julai lalu dan telah menjalankan beberapa tugasan termasuk mencari tajaan dan menulis skrip.
“Pada mulanya, saya dipanggil untuk menulis skrip bagi konsert Kak Ani (panggilan Noraniza) yang akan datang, selepas itu saya dilantik sebagai pengarah persembahan.
“Sedikit demi sedikit, dia (Noraniza) meminta saya melakukan kerja-kerja pengurusan seperti mencari tajaan, banyak juga kerja yang perlu saya lakukan. Skrip juga telah diubah tujuh kali.
“Namun, apabila tiba masa untuk meminta deposit, dia melenting. Padahal itu adalah prosedur biasa, sepatutnya bayaran dilakukan terlebih dahulu sebelum kerja dilakukan,” ujarnya.
Anwar meluahkan rasa kecewa dan berharap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata dia telah membuat laporan polis pada Khamis di Balai Polis Pandan Indah untuk tindakan lanjut.
Untuk maklumat lanjut, Konsert Qalam Noraniza Idris yang dianjurkan oleh Tatih Seni Academy dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan diadakan selama tiga hari, dari 27 hingga 29 September depan.
BACA: Shah Alam digemparkan dengan penemuan longgokan Ular Sawa dalam longkang