KUALA LUMPUR, — Malaysia menyeru Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump agar terus teguh memperjuangkan agenda keamanan sejagat, khususnya di wilayah bergolak termasuk di Semenanjung Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usaha berterusan bagi memupuk keamanan sejagat amat dihargai dan perlu diteruskan demi memastikan kestabilan global yang berkekalan serta inklusif.
Beliau menegaskan bahawa sokongan masyarakat antarabangsa terhadap inisiatif damai yang diterajui AS amat penting untuk memastikan matlamat tersebut dapat dicapai.
“Saya berasa amat gembira apabila mendengar sendiri komitmen kuat Tuan Presiden untuk memastikan keamanan diwujudkan walaupun di kawasan yang amat mencabar. Ia satu usaha luar biasa yang wajar diteruskan dengan sokongan serantau dan global,” katanya di sini, hari ini.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang turut disaksikan oleh Trump. Majlis itu diadakan di luar acara Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan yang bermula di ibu negara pada Ahad.
Menurut Perdana Menteri, beliau turut berpeluang membincangkan pelbagai isu dua hala serta hal ehwal antarabangsa bersama Trump, selepas menerima pelawaan pemimpin AS itu untuk menaiki kenderaan rasmi presiden, The Beast.
“Sebaik Presiden tiba, beliau menjemput saya menaiki kenderaan bersamanya. Walaupun ia bertentangan dengan protokol keselamatan, beliau tetap menjemput dengan penuh mesra. Perjalanan itu menjadi ruang untuk kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu,” katanya.
Trump tiba di Malaysia pagi tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Lawatan ini juga merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia serta lawatan sulung Presiden AS ke negara ini dalam tempoh 10 tahun.
Sidang kemuncak berkenaan berlangsung mulai 26 hingga 28 Oktober dan dijangka menghasilkan beberapa deklarasi bersama bagi memperkukuh komitmen rantau terhadap keamanan, kemakmuran dan pertumbuhan mampan.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menjadi tuan rumah terakhir sebelum kepengerusian diserahkan kepada Filipina pada tahun hadapan.