Realtime website trackingweb stats

Baru tahu rupanya haram minum air ada semut! UAI jawab sebabnya

Oleh ADINDA

Dalam kehidupan seorang Muslim, setiap perkara, walaupun yang kecil, tetap mempunyai hukumnya dan adalah wajib

untuk kita mengetahui agar tidak melanggar perintah Allah SWT.

Ini termasuklah hukum mengenai minum air yang mengandungi semut.

Untuk lebih memahami, ikuti penjelasan dari Ustaz Azhar Idrus berikut.

HUKUM MINUM AIR BERSEMUT

Baru tahu rupanya haram minum air ada semut! UAI jawab sebabnya

Apakah hukum jika semut jatuh ke dalam air minuman? Adakah semut itu najis dan bolehkah kita meminum air tersebut?

Hukum Makan Semut

Pertama sekali, perlu kita ketahui bahawa memakan semut adalah haram kerana semut termasuk dalam haiwan yang dilarang untuk dibunuh.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ النَّمْلَةِ وَالنَّحْلَةِ وَالْهُدْهُدِ وَالصُّرَدِ

Ertinya: “Bahawasanya Nabi Muhammad SAW melarang membunuh empat jenis haiwan, iaitu semut, lebah, burung hud-hud, dan burung surad.” (Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Imam Nawawi berkata:

قال الشافعي والاصحاب: مَا نُهِيَ عَنْ قَتْلِهِ حَرُمَ أَكْلُهُ؛ لِأَنَّهُ لَوْ حَلَّ أَكْلُهُ، لَمْ يُنْهَ عَنْ قَتْلِهِ

Ertinya: “Imam Syafie dan rakan-rakannya berkata: Apa yang dilarang dibunuh, maka haramlah memakannya; kerana jika halal memakannya, nescaya tidak dilarang membunuhnya. Maka, semut dan lebah adalah haram.” (Kitab Al-Majmuk)

Hukum Minum Air Bersemut

Oleh itu, jika terdapat semut dalam air minuman atau makanan, ia perlu dibuang dan semut tersebut tidak boleh ditelan, sama ada semut yang masih hidup atau yang telah mati.

Menelan semut bersama air minuman adalah haram. Namun, jika semut itu jatuh tanpa disengajakan, dan kita tidak perasan, maka ia dimaafkan. Ini kerana ia bukan dilakukan dengan sengaja, dan juga dimaafkan jika sukar untuk membuangnya kerana saiznya yang halus.

Dua Situasi Semut Jatuh dalam Air: Dimaafkan atau Tidak

Semut adalah haiwan yang suci semasa hidup. Jika semut masuk ke dalam air secara tidak sengaja dan tidak mati, maka air tersebut adalah suci.

Namun, jika semut telah mati, ia menjadi bangkai yang najis, dan hukum mengenai air tersebut berbeza-beza, ada kalanya dimaafkan dan ada kalanya tidak.

1. Dimaafkan
Jika semut itu mati tanpa sengaja jatuh ke dalam air, maka air tersebut dimaafkan dan boleh diminum jika kita mahu.

2. Tidak Dimaafkan
Jika semut dimasukkan ke dalam air secara sengaja sehingga mati, maka air itu akan menjadi najis dan tidak boleh diminum.

Contohnya: Jika seseorang melihat semut pada gula dan terus memasukkan gula tersebut ke dalam air panas tanpa membuang semut itu, maka semut tersebut akan mati.

Berkata Syeikh Al-Bajuri:

لو طرح ما لا نفس له سائلة في المائع ضر، وهو ما جَزَمَ به الرافعيُ في الشرح الصغير

Ertinya: “Jika haiwan yang tidak mempunyai darah dimasukkan ke dalam cecair, ia akan memberi mudarat, dan ini adalah apa yang diputuskan oleh Imam Ar-Rafie dalam Syarah As-Saghir.” (Kitab Hasyiah Al-Bajuri)

Maksud memberi mudarat itu ialah menajiskan air.

Air yang mengandungi bangkai semut boleh diminum dengan syarat semut itu masuk secara tidak sengaja dan bangkai semut tersebut sedikit serta dibuang sebelum meminumnya.

Namun, jika terdapat banyak bangkai semut yang mengubah sifat air tersebut, maka air itu adalah najis dan tidak boleh diminum.

Kesimpulan

Semut adalah haram untuk dimakan sama ada dalam keadaan hidup atau sudah menjadi bangkai.

Oleh itu, haram memakan semut hidup kerana semut termasuk haiwan yang dilarang untuk dibunuh, dan haram juga memakan semut yang telah mati kerana diharamkan memakan bangkai.

Wallahua’lam.

BACA: Cangkuk langsir ini nampak macam sama tapi berbeza fungsi, mak-mak je faham benda ni