Realtime website trackingweb stats

Wanita mualaf bangkit dari kegagalan dalam rumah tangga, ini harapan terhadap dua anaknya

Oleh ADINDA

Wanita mualaf bangkit dari kegagalan dalam rumah tangga, ini harapan terhadap dua anaknya.

Pengalaman berdepan kegagalan dalam rumah tangga mendorong wanita mualaf, Masturina Maryam Wong, mengubah nasib serta mencari erti kehidupan dan kebahagiaan sejati.

Masturina dilahirkan sebagai Katolik pernah menukar pegangan agama kepada Buddha bagi mengikut agama suaminya.

Selepas perkahwinan itu gagal dan berakhir dengan perceraian, beliau cuba mencari ketenangan, namun sering menemui jalan buntu kerana beberapa soalan yang tidak ditemui jawapannya, sebelum memeluk Islam.

“Terdahulu pelbagai persoalan muncul, saya tertanya-tanya dari mana kita datang dan ke mana kita akan tuju selepas mati, mengenai syurga atau neraka.

“Dalam mendalami pelbagai agama, saya gagal mendapat jawapan itu.

“Ketika itu saya anti Islam dan tak faham apa itu Islam sebenarnya.

“Saya selalu berdebat dengan kawan atau kenalan yang beragama Islam dan berusaha untuk mengkristiankan mereka, selain mempertikaikan banyak perkara mengenai Islam.

“Namun, bersyukur dalam perjalanan mencari kehidupan ini, Alhamdulillah kemudian saya ditemukan dengan seorang hamba Allah yang meyakinkan, memberi penjelasan mengenai cantik dan indahnya agama Islam.

“Selepas beberapa bulan belajar mengenai keindahan Islam dan mendalami al-Quran, saya menerima jawapannya.

“Alhamdulillah, akhirnya saya memeluk Islam dengan bersyahadah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pada 27 Ogos 2014 sempena ulang tahun saya ke-40,” katanya kepada BH.

Masturina yang menerima anugerah Tokoh Mualaf, sempena Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M, baru-baru ini, terharu di ketika mengandungkan anak bongsu sembilan tahun lalu, beliau mendapat hidayah untuk memeluk Islam sekali gus anak itu juga Islam.

Anak selesa cara hidup Islam

Dua lagi anaknya, iaitu seorang perempuan berusia 26 tahun dan lelaki berumur 21, masih tinggal bersamanya selesa dengan cara hidup Islam, namun berharap diberi hidayah untuk mengikutnya memeluk Islam, suatu hari nanti.

Mastuarina kini aktif sebagai fasilitator bermula di Amaniah Mualaf Care Centre (AMCC), Masjid Amaniah, Jalan Besar Kepong, Selangor.

“Sebelum itu, saya menamatkan pengajian di Kompleks Darul Hidayah JAWI dan kemudian menjadi fasilitator AMCC dengan memberikan bimbingan dan sokongan kepada mualaf yang baharu memeluk Islam.

“Setakat ini, lebih 100 mualaf ada di sekitar Kepong. Insya-Allah usaha kami membantu dari segi kebajikan mereka dan memujuk untuk datang belajar di AMCC Makep.

“Kelas pengajian untuk mualaf di AMC, Makep, disampaikan dalam bahasa Melayu, Mandarin, Kantonis dan Inggeris, jadi lebih memudahkan mereka memahami,” katanya.

Baginya, mengenal Allah, memupuk rasa sayang dan mengenali Nabi Muhammad SAW dan lain berkaitan Islam, wajar dilakukan secara berterusan.

“Ada segelintir masyarakat memandang serong golongan mualaf, justeru peranan kami di AMCC untuk menjadi keluarga kedua mualaf yang tinggal di sekitar Kepong,” katanya.

Di samping itu, beliau juga belajar Fardu Ain Asas dan al-Quran bagi mendalami ilmu itu.

“Saya juga ditawarkan sebagai tenaga pengajar bagi kelas Tahsin al-Quran di Kompleks Darul Hidayah (KDH),” katanya.

Mengenai penerimaan ahli keluarganya, beliau yang berasal dari Sibu, Sarawak, mengakui pada awalnya sebahagian mereka memulaunya, namun bersyukur ketika penghujung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, mereka mula menerima keputusannya memeluk Islam.

Sebahagian besar keluarganya masih menetap di Sarawak dan beliau akan menziarahi mereka apabila ada peluang.

“Saya berdoa supaya Allah memberi petunjuk kepada keluarga dan rakan supaya memeluk Islam,” katanya

Justeru, Masturina menasihati rakan yang masih tercari-cari jawapan dan masih ragu-ragu mengenai Islam, mereka perlu merujuk pakar agama dan pergi ke saluran yang betul.

“Jangan sesekali memahami sesuatu dengan cara ikut-ikutan,” katanya.

Baca:

‘Eh siapa dia?’ Reaksi Nabila Huda bila ditanya siapa Nad Zainal, dah kes baru ke?

Boleh berada lama di lebuhraya tapi siaplah kena caj lebih, ramai tak sangka PLUS ada peraturan sebegini

Sajat pun ‘sekolahkan’ Abang Tesla, ramai setuju kata-kata pedas mak nyah ini