Realtime website trackingweb stats

Wanita Malaysia kongsi sisi indah Afghanistan yang cuba disorok dunia

Oleh NURAIMAN

Sering kali kita hanya mendengar sisi gelap negara Afghanistan, kerana maklumat yang dihidangkan tentang negara bergolak itu sangat terhad.

Ditambah pula kepentingan politik pihak tertentu di sana yang hanya mahu orang luar melihat negara itu dalam kaca mata yang dibentuk oleh mereka.

Bagaimanapun perkongsian seorang penulis wanita, Habibi Nourain Alisyaki seperti yang disiarkan di Kosmo, mungkin mengubah pandangan kita terhadap negara itu.

Walau berada dalam bayang-bayang peperangan yang berpanjangan, Afghanistan masih mengekalkan keindahan dan pesona alamnya.

Keadaan semula jadi dan budaya masyarakat tempatan yang masih berpegang teguh pada tradisi mereka telah menjadikan Afghanistan sebuah tempat yang kekal unik dengan budaya dan keindahan muka bumi.

Pada bulan Julai yang lalu, saya dan suami saya telah menerima jemputan daripada media Afghanistan untuk mengunjungi negara ini dengan tujuan untuk berkongsi pengalaman kami mengenai sisi Afghanistan yang jarang terpapar dalam media dunia.

Perjalanan kami bermula dengan menggunakan sempadan Torkham di Pakistan untuk memasuki Afghanistan, dan pengalaman itu sendiri adalah mencabar.

Demi keselamatan, kami dinasihatkan untuk menggunakan kerusi roda untuk memudahkan perjalanan.

Setibanya di Afghanistan, kami disambut mesra oleh seorang tuan rumah tempatan yang juga bertindak sebagai pemandu kami. Bagi kami, ini adalah satu pengalaman yang amat berharga.

Pada hari berikutnya, kami memutuskan untuk mengenakan pakaian tradisional Afghanistan yang kami beli.

Kami memulakan pagi dengan sarapan di Sungai Kunar, tempat terkenal dengan deretan warung yang menjual ikan bakar segar dan penjual buah-buahan tempatan.

Kemudian, kami melawat pasar raya di bandar Jalalabad. Satu perkara yang ketara adalah kebanyakan barang yang dijual adalah hasil tempatan berbanding import.

Kemudian, kami melanjutkan perjalanan ke ibu kota, Kabul. Sepanjang perjalanan, kami dapat menikmati pemandangan indah gunung-ganang yang menghiasi sekitarnya.

Sebelum memasuki Kabul, kami perlu melepasi sekatan yang dikawal oleh pihak Taliban.

Inilah kali pertama kami berhadapan dengan Taliban yang bersenjata dan berambut panjang. Kami diberi peluang untuk bergambar bersama dengan senjata dan kereta kebal mereka, satu pengalaman yang luar biasa.

Kami juga singgah di sebuah masjid yang terletak di atas gunung. Walau bagaimanapun, wanita tidak dibenarkan untuk solat di dalam masjid, jadi kami berdua solat dalam kereta.

Kami tiba di Kabul pada waktu malam, namun bandar ini masih dipenuhi dengan aktiviti dan kehidupan yang bertenaga.

Kami bermalam di rumah sekeluarga yang mempunyai lima tingkat kediaman.

Walau bagaimanapun, saya tidak berjumpa dengan kaum wanita dalam keluarga tersebut kerana mereka tidak akan keluar jika ada tetamu lelaki.

Bagaimanapun, mereka tetap menyediakan kami dengan makan malam yang lazat.

Pada hari berikutnya, saya diberi peluang untuk berjumpa dengan kaum wanita dalam keluarga tersebut. Kami juga melawat pasar basah di Kabul.

Kebetulan, musim tembikai sedang berlangsung, jadi kami sempat menikmati buah tersebut yang begitu manis.

Selepas makan tengah hari, kami dibawa ke sebuah tasik yang terletak di pinggir pergunungan Kabul untuk bersantai sambil menikmati kopi dan kek versi Afghanistan.

Daerah ini dikenali dengan kekayaan pokok buah-buahan seperti pic, anggur, ceri, dan aprikot.

Kami juga berpeluang untuk menghadiri majlis perkahwinan dalam masyarakat Afghanistan pada hari keempat kami.

Acara perkahwinan ini diadakan di sebuah dewan mewah yang menyerupai istana. Lelaki dan perempuan ditempatkan di dewan yang berbeza, dan segmen persandingan berlangsung dalam dewan wanita.

Setelah itu, kami mengambil perjalanan panjang selama 10 jam ke Band-e Amir, lokasi tasik berwarna biru yang menakjubkan.

Kami bermalam di Bandar Bamyan semalam sebelum meneruskan perjalanan ke sana.

Pada pagi berikutnya, kami menyewa pakaian tradisi etnik Hazara dari tempat sewaan yang telah diatur oleh tuan rumah kami. Kami juga melawat sisa patung Buddha dari abad keenam yang telah dimusnahkan oleh Taliban pada tahun 2001.

Tiba di Band-e Amir, kami diberi pilihan untuk berenang, berkhemah, atau menaiki paddle boat. Kami memilih untuk menaiki paddle boat untuk merasai suasana yang lebih dekat dengan alam sekitarnya. Keadaan di sana sangat meriah dan kami dapat merasakan keselamatan yang dijaga oleh Taliban dengan senyuman.

Selama beberapa hari berikutnya, kami melawat Mazar Sharif yang terkenal dengan seni bina yang menyerupai Uzbekistan.

Setelah itu, kami melintasi sempadan antara Afghanistan dan Uzbekistan, di mana kami menikmati ikan bakar di tepi sungai.

Setelah lima hari di Bamyan dan Mazar Sharif, kami kembali ke Kabul. Kami sempat melawat Expo Antarabangsa Afghanistan yang menjual pelbagai barangan tempatan.

Perjalanan pulang kami melibatkan menyeberangi sempadan yang sama pada hari berikutnya.

Keseluruhannya, pengalaman ini adalah satu yang luar biasa dan telah memberikan pandangan baru mengenai kehidupan di negara yang jarang terlihat ini.

Bagi melihat perjalanan kami yang dianjurkan oleh media Afghanistan ini, para pembaca boleh melayari YouTube, Sunshine Afghanistan: Malaysian in Afghanistan.

 

Baca :

 Ramai remaja Melayu yang menjadi pemuja tegar artis Korea Selatan perlu sedar realiti kepincangan jiwa puluhan ribu belia di sana 

 Siti Nurhaliza dinasihat peminat, tapi lucu pula tak pasal-pasal nama Aina Abdul kena ‘petik’ 

“Tergamak Shila herdik mak dengan kata-kata kesat, Allahuakbar” – Ibu Shila Amzah