Allahyarham Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan mengakui dalam banyak kes yang dikendali, paling banyak meninggalkan kesan dalam hidupnya ialah kes Mona Fandey.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang meninggal dunia pada 2021 itu berkata, beliau hinggakan terbayang-bayang tengkorak Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Allahyarham Datuk Mohd Mazlan Idris yang dibunuh Mona.
Sejak penangkapan itu, pelbagai cerita timbul termasuklah Mona Fandey dikatakan mengamalkan ilmu hitam di Penjara Wanita Kajang untuk membolehkannya menghilangkan diri.
Ketika itu, beliau memegang jawatan Ketua Pengarah Penjara.
Ini perkongsian kisah beliau seperti dilapor BH:
Ketika saya melawat kawasan pembunuhan di Ulu Dong, tiba-tiba urat kaki membengkak dan ada yang kata, saya terlangkah `sesuatu’ di lokasi kejadian.
Apabila saya menghadiri mesyuarat pegawai kanan polis di Siberia, saya demam, kaki bengkak lagi.
Isteri saya telefon, minta orang kampung buat doa selamat, kononnya kaki saya membengkak gara-gara perbuatan Mona.
Begitu juga dengan bekas pemandu saya, dia selalu sakit, demam. Pergi jumpa doktor, selepas pemeriksaan, tak sakit apa-apa.
Lalu, dia berjumpa seorang pakar perubatan tradisional dan diberitahu, kononnya dia juga terlangkah `sesuatu’ di lokasi pembunuhan Mazlan.
Dia dikatakan terlangkah satu lubang, di bawahnya pula ada tengkorak seorang pelacur yang dibunuh, tulangnya diambil Mona untuk tujuan pemujaan.
Saya akhirnya perlu menjalani pembedahan, tak tahan, sakit sangat kaki saya.
Akhirnya selepas pemeriksaan lanjut, rupa-rupanya kaki yang bengkak itu ada jangkitan kuman, bukannya disihir Mona.
Saya juga tidak pakai `pendinding’ seperti dakwaan sesetengah pihak kononnya ia perlu ketika berdepan Mona dalam menyelesaikan kes pembunuhan Mazlan.
Sebenarnya, apabila kami (polis) menemui kepala arwah Mazlan, saya masih terbayang-bayang, tapi tidaklah sampai terbawa-bawa dalam mimpi.
Dulu, banyak kes pembunuhan, mangsa dicampakkan ke dalam sungai, tasik atau lombong.
Apabila kita menemui mayat, keadaannya sangat mengerikan. Itu juga membuatkan saya sering terbayang-bayang.
Isteri selalu mengingatkan saya, apabila dia tahu saya pulang ke rumah selepas siasatan kes bunuh, dia mesti suruh saya mandi dulu sebelum jumpa atau pegang anak-anak. Anak-anak pula masih kecil. Bagi saya, petua tu betul.
Baca:
Tidak terlambat lagi amal panduan 50/30/20, tidaklah hujung tahun pelik ke mana lesapnya duit
Pelakon minum air kencing lembu untuk kekal bertenaga?
Pernah rasa lemau, tak bermaya? Cuba mandian mujarab limau, terus rasa ‘fresh’