Realtime website trackingweb stats

Tupperware makanan berbau jangan buang! Ikut tips ni, pasti jimat duit

Oleh NURAIMAN

Orang muda zaman sekarang ni kalau bekas simpan makanan atau tupperware berbau atau bertukar warna mesti laju sahaja nak buang.

Mak-mak pula tak kisahlah berbau ke apa tetap disimpan semuanya, rupanya ada cara senang nak hilangkan bau busuk atau bau kepam.

Ikuti perkongsian pengguna Facebook, Tupperware Billionaire mengenai cara senang untuk hilangkan bau dalam bekas makanan.

Tips hilangkan bau dengan efektif

Berikut adalah beberapa tips dan petua yang sangat berguna dalam menghilangkan atau mengelakkan bau busuk ‘tupperware’ anda di rumah.

Tupperware makanan berbau jangan buang! Ikut tips ni, pasti jimat duit

Menggunakan surat khabar

Ramas dan renyukkan surat khabar lama di rumah anda. Sumbat ke dalam bekas makanan yang telah dicuci dan kering. Tutup penutupnya dan biarkan semalaman.

Keesokan harinya, bau yang melekat akan terserap ke dalam surat khabar. Jangan lupa untuk mencuci bekas makanan tadi sebelum menggunakannya semula.

Perahan jus limau nipis atau lemon
Perahkan limau nipis atau lemon untuk diambil jusnya dan gosokkan limau nipis tadi ke seluruh bahagian dalam bekas makanan atau tupperware anda.

Biarkan sekitar 4-5 minit sebelum anda bilas dengan air bersih.

Untuk pengetahuan anda, lemon bukan sahaja boleh menghilangkan bau busuk dalam tupperware tetapi ia juga boleh digunakan bersama garam untuk menghilangkan kotoran degil.

Guna serbuk teh
Satu lagi bahan semulajadi yang boleh menyerap aroma dengan pantas ialah serbuh teh. Anda boleh menggunakan serbuk atau uncang teh yang telah digunakan ataupun belum.

Caranya mudah sahaja, cuma letakkan uncang teh ke dalam bekas yang telah dicuci dan tutup bekas makanan anda serta biarkan selama semalaman.

Guna garam
Taburkan secubit garam ke dalam bekas makanan yang telah dicuci. Tutup bekas tersebut dan biarkan ia selama 2-3 jam.

Secara semulajadi, garam akan bertindak sebagai agen yang kan menyahkan bau busuk makanan atau minuman yang masih tertinggal dalam tupperware anda.

Guna cuka
Selain bahan-bahan di atas, cuka juga merupakan salah satu agen pencuci semulajadi yang sangat efektif. .

Setelah mencuci bekas makanan anda, tuangkan sedikit cuka ke dalam bekas dan biarkan selama 5-10 minit untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan.

Kemudian, bilaslah bekas tadi dengan air bersih.

Guna serbuk penaik atau baking soda
Baking soda sangat sesuai untuk digunakan kerana ia juga boleh bertindak sebagai agen penyerap bau yang sangat berkesan.

Caranya ialah, campurkan sedikit serbuk penaik dengan air suam dna gosok pada bahagian dalam bekas makanan tersebut. Biarkan seketika sebelum dibilas.

Jika masih berbau, rendam bekas makanan atau tupperware anda dalam larutan baking soda dan biarkan ia semalaman.

Kalau tak nak cepat bebrbau seeloknya segera basuh dan pastikan bekas makanan betul-betul kering sebelum simpan ia di dalam almari.

Baca juga: Tip kepada yang suka tidur waktu kerja boleh amalkan pasti menjadi!