Tak ramai yang hebat macam nelayan tua ini, jangan tak tahu kayu hanyut dan terbuang boleh bawa hasil RM12,000.
Hanya menggunakan kayu hanyut dan terbuang, seorang warga emas mempamerkan kreativitinya untuk menghasilkan pelbagai replika bernilai ribuan ringgit.
Mohd Noor Yusof, 70, dari Kampung Losong Masjid, di sini, pembuatan replika antaranya seperti rumah tradisional, perahu dan beg dilakukan sebagai hobi bagi mengisi masa lapangnya sejak 50 tahun lalu.
Menurutnya, dia pernah bekerja sebagai nelayan, pembuat perabot dan membaiki bot nelayan, namun banyak menghabiskan masa di rumah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.
Katanya, waktu terluang dihabiskan dengan melakukan kerja-kerja membuat pelbagai replika dengan bahan yang digunakan untuk menyiapkan kerja seni itu diambil di sungai dan kayu terbuang.
“Kedudukan rumah saya beberapa meter dari tebing Sungai Terengganu, maka memudahkan saya untuk mendapatkan kayu hanyut selain kayu-kayu yang dibuang oleh industri.
“Untuk menyiapkan sebuah perahu anak bedar, ia mengambil masa setahun berikutan teknik pembuatannya menyamai pembuatan sebenar namun skalanya saja kecil.
“Begitu juga dengan replika rumah bujang atau rumah tradisional itu mengambil masa sehingga lapan bulan untuk disiapkan dan ianya mengikut ciri-ciri rumah sebenar,” katanya.
Menurutnya, nilai sebuah rumah bujang yang dihasilkan boleh mencecah RM12,000 manakala perahu anak bedal bernilai RM10,000 sekiranya terjual.
Katanya, dia juga berhajat untuk membina replika kereta lembu selepas pembinaan rumah bujang siap sepenuhnya.
“Ilham untuk membina sesebuah replika itu tercetus apabila melihat keunikan seni bina terutama pada binaan rumah dan perahu.
“Saya terjemahkan menjadi sebuah replika apabila dilihat tidak ubah seperti rumah dan perahu asal,” katanya.
Menurutnya, pembuatan sesebuah replika memerlukan pengamatan dan ingatan yang tajam kerana ianya akan diolah dalam skala lebih kecil.
Katanya, walaupun replika, namun setiap inci binaan tidak tertinggal seperti binaan asal contohnya penggunaan pasak dan dia menggunakan teknik sama pada pembuatan replika.
“Kepuasan akan timbul apabila sesebuah replika siap dibina kerana penat-lelahnya membuahkan hasil,” katanya.