Realtime website trackingweb stats

Tak jumpa adik-beradik puluhan tahun, lelaki ini bahagia hidup tepi gua batu kapur

Oleh ARIF ABDULLAH

Hidup sebatang kata tanpa berjumpa adik-beradik puluhan tahun menjadi pilihan buat lelaki ini yang menganggap bahagia hidup di tepi gua batu kapur dekat Simpang Pulai, Ipoh.

Dalam satu laporan pada 2018, Ong Mun King, 68, yang tinggal sebatang kara itu menghuni di lokasi di belakang sebuah kuil.

Lokasi tinggal Mun King yang dilengkapi dengan tempat tidur berkelambu dan dilitupi kanvas itu hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki bersebelahan anak sungai.

Tak jumpa adik-beradik puluhan tahun, lelaki ini bahagia hidup tepi gua batu kapur

Terdapat juga ruang dapur serta beberapa peralatan lain yang tergantung di dinding gua.

Warga emas itu mengambil keputusan untuk tinggal di situ sejak 2015 selepas kehabisan wang simpanan dan tiada pekerjaan untuk menampung kehidupan hariannya.

Dulunya dia bekerja di sebuah kilang tetapi kerap sakit dan tidak cukup tidur lantaran pekerjaan mengikut syif selama 12 jam sehari.

Mun King juga pernah tinggal di dalam sebuah gua di Kepayang, Ipoh sebelum berpindah ke situ.

Senang hati

Dia juga mendakwa pernah tinggal di rumah sewa tetapi tidak mampu membayar sewa sebanyak RM150 sebulan.

“Saya tidak rasa susah dan sangat suka tinggal di sini. Saya rasa lebih senang hati dan bahagia tinggal di sini sebab tiada siapa yang ganggu,” katanya.

Ceritanya, dia akan bangun jam 6.30 pagi setiap hari untuk membersihkan diri di kuil berdekatan sebelum pergi bersarapan di kedai makan berhampiran.

“Adik saudara ada membelikan (membayarkan harga) nasi (di kedai makan).

“Jadi, jam 11 pagi saya akan pergi ke kedai makan itu sekali lagi untuk mengambil nasi.

“Kadang-kadang saya akan pergi ke pasar untuk membeli barangan dapur yang senang dimasak seperti bihun dan mi,” ujarnya.

Di tempat tinggal semulajadinya itu, Mun King memberitahu dia menghabiskan masa dengan berehat, membaca surat khabar dan membaca buku.

Jelasnya, dia akan tidur jam 8 malam kerana keadaan sudah gelap, sunyi dan banyak nyamuk.

Hanya dijenguk oleh rakan baiknya sejak kecil, Mun King mendakwa sudah puluhan tahun tidak bertemu dengan adik-beradiknya.

Namun, dia menolak untuk dibantu ketika ditanya adakah dia memerlukan bantuan kewangan mahupun tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.

“Saya tidak mahu apa-apa daripada sesiapa, tetapi kalau ada yang mahu memberi, saya hanya mahu serbuk kopi,” tambahnya lagi.

Baca:

Pasang CCTV cepat denda siapa yang buang sampah, keadaan teruk Sungai Klang tak patut dibiar

Tak perlu minyak! Proses masak ikan singgang tidak renyah jika ikut cara ini

Seteguk ‘ginger shot’ setiap pagi dapat jaga dalaman, ini cara mudah DIY di rumah