Simpanan minimum RM15,000 TH dorong kesiapsiagaan jemaah, kurangkan penangguhan haji

Oleh Ahmad Fahmi

Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi melayakkan pendeposit menerima tawaran menunaikan haji adalah langkah yang selari dengan peningkatan kos semasa ibadah berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, jumlah simpanan tersebut sebenarnya masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan kos mengerjakan haji secara muassasah yang kini mencecah RM33,300 bagi setiap jemaah.

Menurut beliau, walaupun terdapat pandangan bahawa syarat simpanan minimum itu memberi kesan besar kepada bakal jemaah, realitinya jumlah berkenaan masih jauh lebih rendah berbanding kos sebenar yang perlu ditanggung.

Dr Zulkifli menjelaskan bahawa pada tahun 2025, hampir separuh daripada bakal jemaah yang menerima tawaran haji terpaksa menangguhkan giliran mereka akibat kekurangan simpanan mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, bagi musim 2026, pendekatan peringatan awal yang dilaksanakan telah mendorong sebahagian bakal jemaah meningkatkan simpanan masing-masing sehingga mencapai paras RM15,000 dalam tempoh singkat.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Jabatan Haji Tabung Haji, Mohd Hisham Harun dilaporkan memaklumkan bahawa hanya pendeposit yang memiliki simpanan minimum RM15,000 layak menerima surat tawaran menunaikan haji.

Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga November tahun lalu, lebih 26,000 surat tawaran telah dikeluarkan daripada keseluruhan kuota 31,600 jemaah Malaysia bagi musim Haji 1447H bersamaan 2026.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata penetapan syarat simpanan minimum tersebut memberi kesan positif apabila pendeposit lebih bersedia dari segi kewangan untuk menyahut tawaran haji.

Menurutnya, langkah itu juga merupakan antara usaha TH bagi mengurangkan jumlah bakal jemaah yang menangguhkan giliran, dengan kadar penangguhan berjaya diturunkan kepada 18 peratus tahun ini berbanding 55 peratus pada tahun sebelumnya.