Realtime website trackingweb stats

Siap ada grup Telegram tapi semua ahli ‘hantu’, cara licik ‘scammer’ ini mungkin ramai tak sangka

Oleh NURAIMAN

Lazimnya kita dengar taktik ‘scammer’ guna muslihat kononnya dari syarikat kurier, tetapi lain pula dialami seorang mangsa penipuan Macau Scam baru-baru ini.

Skim pekerjaan dalam talian dengan bermacam janji manis sebenarnya satu lagi modus operandi penjahat dalam alam siber.

Pendek kata, janganlah tertipu dengan dakwaan kononnya boleh buat duit lumayan dengan hanya membuat ulasan produk, ‘like’ atau ‘subscribe ‘akaun Youtube.

Berikut perkongsian Ariff Azim yang telah pun membuat pengisytiharan perang terhadap ‘scammer’:

Perasaan saya sangat ralat. Saya punyalah ralat, sampaikan masa nak solat Isyak, saya menangis dalam solat.

Malam semalam (8 Oktober 2023), saya dimaklumkan yang sahabat ini telah menjadi mangsa penipuan online; Macau Scam.

Ceritanya, minggu lepas, sahabat ini tiba-tiba menghantar teks dalam kumpulan WhatsApp meminta maaf kepada semua. Rupa-rupanya, setelah diselidiki rakan lain, dugaan sahabat ni sangat berat.

Pagi sewaktu nak pergi bekerja, motosikal beliau telah terlanggar lubang sewaktu menggunakan lebuh raya PLUS menghala ke Nilai. RM400 melayang sebab rim belakang patah.

Dalam keadaan diuji sebegitu rupa, beliau telah menerima satu pesanan mesej melalui WhatsApp yang menawarkan peluang pekerjaan separuh masa yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Bayangkanlah, dalam keadaan terdesak memerlukan sokongan kewangan bagi menampung kerosakan motosikal, peluang kerja sambilan ini umpama orang mengantuk disorongkan bantal jadinya.

Beliau pun buatlah segala tugas untuk review produk telefon syarikat tertentu. Seterusnya, beliau telah dimasukkan ke dalam grup Telegram yang telah diisi dengan ahli palsu.

Dalam tu diisi dengan perbualan palsu konon-kononnya mereka telah mendapat hasil yang lumayan ribuan ringgit. Lengkap dengan butir transaksi sekali!

Mula-mula beliau diminta untuk membuat kiriman wang sekian jumlah untuk mengaktifkan sistem. Beliau pun buatlah. Untuk fasa ini, nilainya ratusan ringgit.

Kemudian, beliau telah diarahkan untuk mendapat manfaat komisyen, beliau diarah untuk membuat pembayaran seterusnya sebanyak sekian-sekian ringgit. Kali ini mencecah ribuan ringgit.

Namun, perasaan sangsi mula menjengah kalbu dia. Dia pun mula menghubungi nombor lain di dalam grup Telegram berkenaan. Malangnya, tidak ada satu pun nombor berkenaan dapat dihubungi.

Pada saat inilah dia baru tersedar, ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku. Pada tahap inilah baru beliau sedar, beliau telah menjadi mangsa penipuan skim pekerjaan dalam talian.

Selepas beliau sedar, segalanya sudah terlambat. Duit telah dihantar kepada akaun penerima. Atas sebab inilah dia menghantar mesej kepada semua, mohon maaf, halalkan makan minum.

Mungkin kerana dosa dia dengan kami, yang zahir atau tidak menjadi asbab beliau diuji Allah SWT sebegini. Inilah sikap orang yang beriman dengan Qada’ & Qadar.

Pada masa inilah saya menjadi ralat kerana saya sebelum ini telah berkali-kali dihubungi agensi sebegini melalui WhatsApp, namun saya tidak melayan.

Saya tahu, tiada peluang buat duit dengan hanya membuat ulasan produk atau like atau subscribe akaun Youtube untuk mendapat komisyen. Siap saya tro11 mereka ni lagi ada la.

Jikalau sesuatu skim itu terlalu baik, ingatlah, pasti ada sesuatu di sebaliknya. Saya selalu menasihati rakan-rakan sekerja, kaum keluarga, rakan-rakan sekolah saya akan penipuan sebegini.

Tetapi, malangnya saya tidak pernah berkongsi sama sekali dengan sahabat ini.

Bayangkanlah, duit gaji baru masuk, ditimpa musibah, duit itu untuk bayar pinjaman rumah, belanja anak-anak, tiba-tiba sebahagian besar diambil orang sebegitu sahaja?

Apa perasaan isteri beliau? Isteri beliau seorang suri rumah sepenuh masa.

Masa inilah saya rasa sangat-sangat bertanggungjawab kerana tidak membuat sebaran maklumat sebaiknya! Dia menjadi mangsa kerana saya tidak serius menyebarkan maklumat dan kesedaran kepada masyarakat awam.

Mulai hari ini, saat ini, saya akan lebih aktif menentang kes-kes penipuan sebegini bagi membolehkan lebih ramai mengelak menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Baca:

Ada menyamar Muslim pakai niqab dan acah pengsan, kantoi sudah taktik warga asing di Bukit Bintang

Johan Ghazali raih kontrak RM467,000 menjelang umur 17 tahun, kenali Jojo si jaguh termuda muay thai negara

Nyanyi lagu rock kapak dalam majlis kahwin orang India, ramai kagum vokal padu budak ini