Realtime website trackingweb stats

Salji di Jepun rupanya paling bersih dan ringan, ketahui 15 tips melancong ke negara Matahari Terbit

Oleh FATIN AQILAH

Salji di Jepun rupanya paling bersih dan ringan, ketahui 15 tips melancong ke negara Matahari Terbit

Rupa-rupanya salji di Jepun paling berkualiti iaitu bersih, putih dan ringan, sesuai untuk bermain ski, papan salji (snow board), gelongsor (sledging) atau ais kepal bersama-sama keluarga.

Patutlah Jepun menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk melancong selain kedudukannya yang lebih dekat berbanding Eropah atau Amerika Syarikat.

Ramai pelancong terutama dari iklim Khatulistiwa mengambil kesempatan melawat Jepun pada musim sejuk yang mula dirasai seawal November semata-mata untuk bermain dan menikmati keindahan musim salji.

Sebagai pelancong, anda perlu tahu empat musim di Jepun iaitu: Musim Bunga (Mac hingga Mei); Musim Panas (Jun hingga Ogos); Musim Luruh (September hingga November) dan Musim Sejuk (Disember hingga Februari).

Salji di Jepun rupanya paling bersih dan ringan, ketahui 15 tips melancong ke negara Matahari Terbit

Ikuti 15 tips seperti disenaraikan oleh Yamin Ismail ini jika anda pertama kali ingin melawat Jepun:

1. Visa – Tak perlu. Anda boleh stay di sana sehingga 90 hari.

2. Duit Yen – Tukar di Malaysia lebih baik kerana di sana susah nak cari money changer. Kadar tukaran di sana pun mahal.

3. Talian internet – bawa pocket wifi untuk memudahkan capaian internet. Boleh book online dan bila sampai sana boleh ambil di lapangan terbang.

4. Pengangkutan – Beli pas keretapi Japan Rail Pass atau pas bas. Di sana pengangkutan keretapi cekap dan menepati waktu. Contohnya, keretapi mempunyai jadual 07.13AM. Next train 07.27AM. Seterusnya 07.48AM. Bukan 07.00/07.30/08.00AM. Dan setiap keretapi adalah punctual.

5. Makanan halal – Ada, tapi tidak semua tempat dan mahal. Elok bawa sambal ikan dan serunding. Bungkus dalam pek kecil supaya mudah untuk dihabiskan sekali makan atau convenient untuk dibuka dalam perjalanan jauh menaiki keretapi. Saya suka Brahim (nasi segera bersama lauk) sebab boleh panaskan dalam microwave dan terus makan.

6. Kalau lapar sangat – Masuk 7E. Untuk yang kali pertama masuk 7E mereka, kita akan rasa macam, ‘Alangkah bahagianya kalau kat Malaysia pun macam ni’. Di kaunter cuba cakap – Sumimasen (Excuse me). Gohan (nasi) – wa- doko desuka? (where is it?). Sumpah, inilah my friend makanan (sticky rice Jepun) yang paling kenyang, mudah, murah dan mampu untuk wallet backpackers di samping onigiri.

7. Penginapan – Bergantung kepada bajet anda. Saya pernah duduk hotel, asrama, homestay, rumah air BNB dan rumah kawan. Yang penting ada kemudahan memasak dan bilik tidur. Pilih rumah yang paling mudah diakses (baca: dekat) sama ada dengan stesen bas atau stesen keretapi.

8. Berjalan kaki – Anda kena bersedia untuk banyak berjalan kaki di Jepun. Lainlah kalau anda sewa kereta dengan pemandu di sana yang amat mahal. Orang Jepun jalan laju. Kalau anda baca guidelines macam ni, ‘The hostel is 5 minutes away on foot from the train station,’ percayalah perjalanan lima minit tu kita kena darab dengan 3.89 kali ganda dulu sebab tak sama nak catch-up halaju jalan kaki mereka.

9. Tempat menarik – Saya dah sampai Kyoto, Kobe, Osaka, Tokyo, Gunung Fuji. Keindahan semulajadi serta kecanggihan sisi moden Jepun di sebalik bangunan lama yang dipelihara adalah kontras yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Banyak tempat menarik boleh dilawati dan kebanyakannya tiada bayaran dikenakan. Jepun juga mempunyai banyak tempat yang diwartakan sebagai warisan UNESCO.

10. Bahasa Jepun – Elok juga tahu sepatah dua sebagai menunjukkan budi bahasa kita. Contoh: Selamat pagi – Ohayo Gozaimas, Hello – Kon ni chi wa, Terima kasih – Arigato Gozaimas, Excuse Me – Sumimasen. Rakyat Jepun sangat helpful walaupun mereka sendiri tidak faham apa yang kita tanya. Saya pun kadang-kadang tak faham apa yang mereka jawab. Kalau kita ada kelebihan berbahasa asing adalah lebih baik.

11. Vending machine – Teramat banyak di sana. Boleh beli apa saja. They are everywhere. Terdapat 5.5 juta vending machine di negara ini! Dari bento kepada sosej. Payung kepada surat khabar. Air tu tentulah, ‘kan. Coklat. Telur ayam. Sup ikan. Burger. Ramen. Buah oren dan pisang. Malah, ada juga mesin yang berfungsi untuk mengambil selfie. Japanese are all about conveniences.

12. Tandas – Terlampau bersih dan canggih. Sampaikan button mana nak tekan pun tak pasti selepas menunaikan hajat. Rakyat Jepun obses akan kebersihan dan keselesaan. Selalunya, di tepi bidet atau dinding sebelah kanan anda akan ada pilihan tekanan air, suhu air, cara pancuran pembersihan (maaf tak bermaksud nak campur urusan peribadi anda), tetapi itulah hakikat kemodenan mangkuk tandas di Jepun. When in Japan, do as the Japanese do.

13. Surau – Islam itu mudah dan memudahkan. Jadi, tiada excuse pergi travel tak solat. Di lapangan terbang utama Jepun memang disediakan surau yang cukup selesa. Di bandar-bandar besar juga ada masjid dan surau. Malah, di kebanyakan restoran halal turut menyediakan ruang untuk solat.

Cuma disebabkan rakyat Jepun sangat anti dengan lantai yang berkecah dan basah, maka kita perlu menghormati adab di tempat orang. Berusahalah untuk berwuduk dengan cermat dan tertib bahkan kalau ada tisu atau kain lap disediakan, lap sikit lantai lepas selesai ambil air sembahyang.

14. Makan ramen – Makan dengan hirupan bunyi bising dianggap penghargaan kesedapan kepada tukang masak. Kalau di Malaysia rasa nak tampar muka orang yang makan berbunyi begitu. Kalau di kedai makan pula, pelanggan akan makan dengan cepat apabila ada lagi pelanggan yang beratur menunggu di luar sebagai tanda kita menghormati masa orang lain. Only in Japan.

15. Duit syiling Jepun – Ada banyak dominasi – 1, 5, 10, 50, 100 dan 500 Yen (design memang cantik) – kecuali jika anda ingin menyimpannya sebagai cenderamata, bolehlah berusaha habiskan sebab balik Malaysia nanti dah tak boleh tukar di money changer.

Baca:

Tiga negeri ini paling tinggi rekod perkahwinan bawah umur, trend makin membimbangkan

Pulau yang makin tenggelam, jiwa pelaut sejati tak gentar, rupanya ini sebab penduduk enggan berpindah

Anak patung ditangkap dan digari, ‘Chucky’ rupanya dipuja takutkan orang ramai