Realtime website trackingweb stats

Ramai percaya suami kena tanggung dosa isterinya, betul ke? Ini jawapannya

Oleh ADINDA

Kita sering mendengar ungkapan bahawa seorang suami akan menanggung dosa isterinya.

Ungkapan ini telah menjadi kebiasaan dalam pemikiran masyarakat kita, namun tidak ramai yang memeriksa sejauh mana kebenarannya.

Persoalan ini pernah dibangkitkan dan telah dijawab melalui laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan. Berikut adalah penjelasan mengenai isu ini:

Soalan: Adakah benar bahawa suami akan menanggung segala dosa isterinya?

Jawapan:

Ramai percaya suami kena tanggung dosa isterinya, betul ke? Ini jawapannya

Di dalam al-Quran, banyak ayat yang mengarahkan setiap individu untuk menjaga diri mereka serta orang di sekeliling mereka daripada melakukan dosa atau maksiat. Salah satu firman Allah yang menyentuh hal ini ialah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.” [al-Tahrim:6]

Syeikh Muhammad Sayyid Thanthawi dalam tafsirnya menjelaskan bahawa ayat ini ditujukan kepada setiap individu yang beriman kepada Allah untuk menjauhkan diri dan keluarga dari api neraka dengan cara memberi nasihat, menunjukkan jalan yang benar, serta menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Secara asasnya, menurut syarak, tiada seorang pun yang akan menanggung dosa orang lain. Ini dijelaskan melalui firman Allah:

“Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.” [al-An’am:164]

Ini membuktikan keadilan Allah seperti dalam firman-Nya:

“Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Jika berat tanggungannya (dengan dosa) lalu memanggil (orang lain) untuk menolong, maka tidak akan dapat dipikul sedikit pun daripadanya, walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.” [Fatir:18]

Ini menunjukkan bahawa setiap individu yang berakal dan baligh akan menanggung dosanya sendiri, tanpa mengira statusnya sebagai suami, isteri, ibu, bapa, anak, atau orang lain.

Walau bagaimanapun, suami atau sesiapa sahaja akan berdosa jika mereka tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, seperti menasihati isteri dalam perkara yang baik dan menghalangnya daripada melakukan kemungkaran. Ini dinyatakan dalam hadis:

“Ketahuilah bahawa setiap daripada kamu adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai orang di bawah tanggungannya. Seorang imam (ketua) adalah pemimpin bagi manusia dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan akan ditanya mengenai hal mereka.” [Riwayat Muslim]

Untuk menjawab persoalan ini, dapat disimpulkan bahawa suami tidak akan menanggung dosa isterinya jika suami telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Jika isteri terus melakukan maksiat selepas ditegur atau melakukan maksiat tanpa pengetahuan suami, maka isteri itu tetap berdosa dan suami tidak akan menanggung dosa tersebut.

Oleh itu, kenyataan bahawa suami menanggung segala dosa isteri adalah tidak benar kerana bertentangan dengan dalil-dalil yang telah disebutkan

Kesimpulannya, setiap individu (mukallaf) akan menanggung dosanya sendiri di hadapan Allah pada hari pengadilan, dan tidak akan menanggung dosa orang lain jika telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

BACA: Wanita minta tips nak masuk hospital seminggu, rupanya penat layan karenah suami