Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin
Post-mortem PKP Fasa 1
1. Tiada penurunan bilangan kes positif, kes di ICU dan kematian yang ketara.
2. Penambahan bilangan kluster tempat kerja baru saban hari.
3. Terlalu banyak industri dibenarkan beroperasi.
4. Program vaksinasi masih perlahan terutama di negeri Selangor yang mana menunjukkan bilangan kes tertinggi setiap hari.
5. Bilangan kluster sporadik turut bertambah.
6. Bantuan kepada rakyat yang terjejas terlalu lambat.
7. Bilangan rakyat terjejas sumber pendapatan semakin meningkat.
8. Bilangan kes bunuh diri, tekanan mental dan emosi turut meningkat.
9. Aktiviti ekonomi terjejas, perniagaan ditutup, rakyat kehilangan pekerjaan.
10. Sektor pendidikan masih menggunakan kaedah PdPR menjejaskan golongan pelajar yang tiada akses kepada peranti dan talian internet.
Oleh kerana bilangan kes masih tidak mencapai titik ambang sebanyak 4k sehari maka kerajaan memutuskan untuk meneruskan PKP Fasa 1 untuk tempoh 2 minggu lagi.
PERSOALANNYA
1. Apakah tindakan-tindakan drastik yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menurunkan segera bilangan kes positif harian?
2. Apakah dengan mengharapkan program vaksinasi mencecah titik ambang 10% populasi akan menurunkan bilangan kes harian ke 4000 sehari?
3. Apakah bilangan industri yang dibuka sepanjang PKP Fasa 1 ini akan tetap terus dibenarkan beroperasi, ditambah atau dikurangkan?
4. Apakah pakej bantuan yang akan disalurkan kepada rakyat yang terjejas akan dapat menyelamatkan mereka dari terus terbenam di bawah garis kemiskinan?
5. Apakah dengan hanya berterusan mengurung rakyat terbanyak tetapi membiarkan industri beroperasi tanpa kawalan akan menurunkan bilangan kes positif harian?
Maafkan saya.
Andai kerajaan tidak mengambil sebarang langkah-langkah drastik, tegas dan berani, saya tidak fikir kita akan beranjak ke Fasa 2 di dalam masa terdekat.
Maafkan saya.
Ujian swab ke atas populasi mesti dilakukan secara besar-besaran di samping program vaksinasi yang sedang dilakukan.
Mengenalpasti mereka yang positif dan mengasingkan mereka akan membantu kita menurunkan kadar jangkitan di kalangan populasi.
Umum mengetahui ramai yang dijangkiti C19 tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala.
Umum mengetahui saban hari ada sahaja kluster baharu ditemui.
Kita tiada pilihan lain.
Ujian swab secara besar-besaran perlu dilakukan. Wajibkan semua industri yang beroperasi menjalani ujian swab. Pastikan semua pekerja dan warga asing samada mempunyai permit atau tidak menjalani ujian swab.
Letakkan sasaran bilangan ujian swab sehari. Sekurang-kurangnya 250,000 ujian sehari.
Ujian swab adalah sama penting dengan pemberian vaksin. Jangan kita terlalu fokus untuk meningkatkan bilangan vaksinasi sehingga kita mengabaikan bilangan ujian swab.
Semoga kita bersama-sama dapat mengambil iktibar apa yang telah berlaku sepanjang 4 minggu PKP Fasa 1 yang lalu.
Profesor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, profesor daripada Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia