PMX tanya Presiden Russia isu MH17 depan-depan

Oleh ABDULLAH HAMID

PMX tanya Presiden Putin isu MH17 depan-depan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencipta sejarah apabila secara berani dan terbuka menyuarakan pendirian tegas Malaysia mengenai tragedi MH17 terus kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, dalam pertemuan rasmi mereka di Kremlin, semalam.

Dalam pertemuan berprofil tinggi itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah berganjak daripada prinsip menuntut kebenaran dan keadilan berhubung insiden tragis yang menimpa pesawat Malaysia Airlines itu pada 2014.

“Saya sampaikan secara terus kepada Presiden Putin — suara rakyat Malaysia yang mahukan keadilan dalam tragedi MH17. Kita tetap tegas bahawa kebenaran mesti didedahkan dan keadilan ditegakkan secara menyeluruh dan adil,” ujar Anwar menerusi satu hantaran media sosialnya.

PMX tanya Presiden Putin isu MH17 depan-depan

Kerjasama Pelbagai Bidang, Malaysia Sasar Pelaburan Baharu Russia

Dalam perbincangan dua hala itu, Anwar dan Putin turut mengupas pelbagai peluang kerjasama strategik antara kedua-dua negara — meliputi perdagangan, pendidikan, keselamatan siber, teknologi digital, pertahanan, serta pertukaran pelajar.

Malaysia, kata Anwar, menyambut baik inisiatif memperluaskan pelaburan Russia, terutamanya dalam bidang berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.

“Saya juga ketengahkan potensi besar hubungan antara rakyat — biasiswa, pertukaran pelajar, perluasan program pengajian Melayu serta kerjasama dalam bidang TVET dan sains teknologi.”

Anwar Cadang Aeroflot Terbang Semula ke Malaysia

Bagi memperkukuhkan keterhubungan antara rakyat, Anwar turut mencadangkan agar syarikat penerbangan Russia, Aeroflot, menyambung semula penerbangan terus ke Malaysia.

Langkah ini dilihat mampu meningkatkan sektor pelancongan, memupuk pertukaran budaya, dan mengeratkan hubungan dua hala rakyat ke rakyat.

“Russia bukan sekadar kuasa besar dunia, tetapi sebuah negara dengan warisan peradaban yang kaya – daripada perjuangan rakyatnya sehinggalah seni dan sasteranya. Saya sendiri amat mengagumi semangat dan ketabahan bangsa Russia,” jelasnya.

Malaysia Konsisten Tolak Tindakan Unilateral, Sokong ASEAN yang Bebas

Dalam konteks geopolitik global, Anwar mengulangi pendirian konsisten Malaysia dan ASEAN yang menolak sebarang tindakan unilateral serta menegaskan prinsip kedaulatan dan penyelesaian aman sebagai teras dasar luar negara.

“Malaysia akan terus memainkan peranan berprinsip dalam sistem pelbagai hala. ASEAN serta negara-negara dari Selatan Global mesti bebas menentukan masa depan mereka, tanpa dipaksa memilih antara kuasa besar,” katanya.

Russia Sokong Hasrat Malaysia Sertai BRICS, Putin Dijemput ke Malaysia

Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Russia terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS — gabungan ekonomi pesat membangun melibatkan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.

Beliau yakin penyertaan Malaysia akan membuka lembaran baharu ke arah pembangunan yang lebih seimbang dan adil di peringkat global.

Sebelum menutup pertemuan, Anwar turut menjemput Presiden Putin untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia, sama ada dalam masa terdekat atau bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober nanti.

“Kehadiran beliau ke Malaysia bakal menjadi pemangkin utama ke arah memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama serantau yang lebih mantap.”

BACA JUGA :

Sindir pertemuan PMX dengan Presiden Russia, sekali netizen pula sekolahkan ahli parlimen Pas

Menteri Russia akhirnya dedah punca nahas helikopter Iran, ada kaitan dengan Amerika

Bekas aktivis Umno dedah apa sebenarnya masalah PMX