“PMX, Selamatkan Kami” – Penduduk Desak Penyelesaian Kekal Banjir Golok

Oleh AHMAD ISMAIL

RANTAU PANJANG: Laungan “PMX selamatkan kami” bergema di tapak Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok apabila lebih 20,000 penduduk dari kira-kira 30 kampung berhimpun bagi menyuarakan kesengsaraan mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan itu—terdiri daripada penduduk, petani dan penoreh getah—berkumpul bagi mendesak penyelesaian menyeluruh terhadap isu banjir yang didakwa semakin buruk sejak pelaksanaan projek tersebut.

Penghulu Tanpa Mukim DUN Gual Periok, Sabri Muhammad berkata penduduk telah menanggung kesukaran selama hampir empat tahun apabila banjir berlaku berlarutan antara November hingga Mac setiap tahun.

“Projek yang sepatutnya mengurangkan masalah banjir sebaliknya menyebabkan keadaan lebih teruk. Ada kawasan yang tenggelam sehingga ke paras bumbung, selain fenomena banjir termenung yang mengambil masa lama untuk surut,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Sabri, penduduk menuntut agar kerajaan mempertimbangkan pembinaan terusan pintas (bypass) melibatkan laluan Sungai Lanchang–Lemal–Sungai Alor Mengkung sebagai penyelesaian kekal.

Berdasarkan kajian teknikal yang ditunjukkan kepada mereka, terusan sepanjang kira-kira 14.2 kilometer itu mampu mengalihkan sebahagian besar aliran banjir terus ke Sungai Pengkalan Nangka sebelum menuju ke Laut China Selatan.

Katanya lagi, kaedah itu berupaya menghapuskan fenomena arus songsang (backflow) dari Sungai Golok—yang dikenal pasti sebagai faktor utama banjir besar dan banjir termenung di kawasan tersebut.

Sabri memaklumkan, analisis empirik menunjukkan bahawa pembinaan terusan tersebut boleh mengurangkan paras banjir antara 1.0 hingga 3.5 meter, selain memberi perlindungan sehingga 100-Year ARI, jauh lebih tinggi berbanding keupayaan reka bentuk mitigasi sedia ada.

“Ini adalah penyelesaian jangka panjang yang menangani punca sebenar banjir, bukan hanya langkah sementara. Kami merasakan tiada ruang lagi untuk melengahkan tindakan kerana setiap musim tengkujuh, risiko kerosakan harta benda dan ancaman keselamatan penduduk semakin meningkat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penduduk sendiri mengesahkan punca utama banjir adalah kemasukan semula air Sungai Golok ke Sungai Lanchang-Lemal apabila paras air meningkat mendadak.

Katanya, maklumat teknikal daripada kajian hidraulik dan dokumen rasmi PLSB Sungai Golok juga menunjukkan bahawa pembinaan ban dan spillway pada masa ini tidak mencukupi untuk mengekang aliran songsang tersebut.

“Kami berharap Perdana Menteri mendengar rintihan ini dan mempertimbangkan solusi yang benar-benar menyelesaikan akar punca masalah,” katanya.