Realtime website trackingweb stats

PKPD langkah drastik menurunkan kes positif covid-19?

Oleh NOR SITI HAZLINDA

PKPD LANGKAH DRASTIK MENURUNKAN KES POSITIF COVID-19?

1. Pada 27hb Jun yang lepas saya telah menulis di laman media sosial menzahirkan pandangan betapa pentingnya kerajaan untuk memulakan pelbagai langkah drastik bagi menurunkan bilangan kes positif COVID-19 di negara kita.

2. Antara lain yang telah saya sentuh adalah menggesa kerajaan supaya menggiatkan lagi bilangan saringan COVID-19 agar kita dapat mengenalpasti mereka yang positif dan memberikan perkhidmatan sokongan yang sewajarnya bagi membendung penyebaran virus tersebut.

3. Saya juga membayangkan bahawa selain menggiatkan lagi proses vaksinasi, aktiviti penyaringan secara besar-besaran perlu dilakukan secara serentak kerana dengan cara ini kita menggabungkan dua strategi dengan lebih bersepadu.

Gambar: sekadar hiasan

4. Pemberian vaksin adalah kaedah yang boleh dianggap sebagai bersifat pencegahan (prophylaxis) iaitu mencegah individu dari dijangkiti manakala penyaringan pula adalah umpama aktiviti cari dan selamat (search and rescue).

5. Meninggalkan salah satu darinya sudah pasti akan melambatkan penurunan bilangan kes positif harian di negara kita.

6. Jika ada yang berminat untuk meneliti tulisan tersebut, ianya boleh didapati di sini:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10225690873323013&id=1365323726&sfnsn=mo

7. Mulai hari ini 3 Julai 2021 pihak kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sebahagian besar negeri Selangor dan beberapa mukim di Kuala Lumpur selama 14 hari.

8. Tentu sekali tindakan drastik ini adalah rentetan tiada penurunan yang ketara pada bilangan kes positif di negara kita serta kadar positif harian yang masih melangkaui paras 5% iaitu titik ambang yang disarankan oleh Badan Kesihatan Sedunia (WHO).

Gambar: menunjukkan graf kes covid -19 dari bulan Mac hingga 1 Mei 2021

9. Sebagai contoh negara kita telah menunjukkan purata bulanan peratusan kadar positif yang rendah iaitu 3.15% pada bulan Mac 2021. Manakala pada bulan April 2021 berlaku sedikit peningkatan kepada paras 3.62%. Namun begitu, bermula Mei 2021 terdapat peningkatan kadar positif yang sangat ketara iaitu pada kadar 6.15% dan seterusnya pada Jun 2021 terus melonjak pada kadar 7.21%.

10. Ini tidak lagi disentuh bilangan kadar kematian, bilangan pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta bilangan pesakit yang memerlukan bantuan oksigen. Semuanya ini juga tidak langsung menunjukkan sebarang penurunan yang ketara semenjak beberapa bulan yang lalu.

11. Perlu juga dinyatakan di sini bahawa semuanya ini sedang berlaku pada ketika negara telah pun memulakan kempen vaksinasi secara besar-besaran, pada ketika negara telah pun berada di dalam tempoh Perintah Darurat serta rakyat pula masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

12. Maka apakah sebenarnya kesilapan yang telah berlaku?

13. Saya ingin memetik satu artikel yang diterbitkan oleh National Institutes of Health (NIH) bertarikh 30hb Jun 2021 bertajuk ‘NIH-funded screening study builds case for frequent COVID-19 antigen testing’.

14. Artikel ini antara lain membicarakan tentang perbezaan pandangan berhubung keberkesanan penggunaan ujian ‘rapid antigen test’ atau dikenali sebagai ujian RTK-Ag berbanding ujian piawai emas (gold standard) iaitu menggunakan kaedah PCR.

15. Walaupun kaedah PCR adalah lebih jitu namun oleh kerana faktor kos dan tempoh menunggu keputusan ujian yang mengambil masa maka ia tidak berupaya digunakan secara meluas untuk menghentikan rantaian jangkitan virus tersebut.

16. Dr. Bruce Tromberg, Pengarah National Institute of Biomedical Imaging and Bioengineering (NIBIB) menegaskan bahawa ujian RTK-Ag sebanyak dua atau tiga kali seminggu adalah merupakan satu cara yang cukup ampuh dan mudah bagi setiap individu untuk menyaring jangkitan COVID-19.

17. Beliau juga menyatakan ujian antigen secara berterusan akan berupaya untuk membantu masyarakat menguruskan risiko jangkitan dan mengambil tindakan segera bagi mencegah penyebaran virus ini.

18. Apa yang telah dirumuskan di dalam artikel ini adalah ujian RTK-Ag jika dilakukan setiap tiga hari adalah cukup berkesan sebagaimana ujian secara kaedah PCR dan ujian saringan secara besar-besaran perlu dilakukan bagi membendung penularan wabak ini.

19. Saya ingin menarik perhatian di sini jika kita melihat data bilangan ujian saringan PCR yang dilakukan sepanjang bulan Jun yang lalu oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bilangan ujian harian yang melebihi 100 ribu adalah hanya sebanyak enam hari sahaja. Selebihnya bilangan ujian adalah di bawah paras 100,000 dan pernah terjadi serendah 58,384 sahaja iaitu pada 21 Jun 2021.

20. Bilangan ujian yang rendah juga memberikan gambaran palsu jika bilangan positif adalah rendah kerana ia mestilah dibaca dengan kadar peratusan positif supaya lebih bermakna. Pada tarikh yang sama bilangan pesakit yang disahkan positif adalah seramai 4,611 seolah-olah membayangkan berlaku penurunan kes positif di negara kita walhal ia tidaklah begitu.

21. Justeru, persoalan apakah PKPD yang baru berkuatkuasa ini akan berupaya menurunkan bilangan kes positif?

22. Saya berpandangan jika PKPD ini adalah satu-satunya tindakan drastik yang dilakukan oleh kerajaan, agak sukar untuk diyakini ia akan mampu menurunkan bilangan kes positif.

23. Kita wajar menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengadakan ujian RTK-Ag secara besar-besaran baru-baru ini. Usaha ini perlu bersifat lestari dan dilakukan lebih kerap dengan menetapkan bilangan sasaran ujian yang perlu dilakukan supaya ia lebih memberi impak kepada penurunan bilangan kes positif di negeri Selangor.

24. Kerajaan pusat perlu turut melakukan ujian RTK-Ag secara besar-besaran dan bersepadu dengan kerjasama semua kerajaan negeri dan pihak industri yang telah diizinkan untuk beroperasi. Sebagai contoh, ujian RTK-Ag mesti diwajibkan ke atas semua operator pengilangan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu bagi memastikan setiap pekerja adalah bebas COVID-19 dan seterusnya menghentikan penularan virus ini di tempat kerja.

25. Saya telah menyebut di dalam ulasan yang lepas penetapan sekurang-kurang sasaran 250,000 ujian sehari perlu dilakukan. Ini adalah jumlah sasaran yang boleh dicapai jika semua pihak dapat bersama-sama menjayakan agenda ini.

26. Dengan cara ini ditambah lagi dengan program vaksinasi yang sedang rancak berlangsung sahajalah negara akan mampu menurunkan bilangan kes positif dan membawa rakyat menjalani kehidupan normal seperti yang sedang berlaku di negara-negara maju yang lain.

 

Professor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Kami menjemput dan mengalu-alukan untuk kongsikan pandangan dan artikel penulisan anda ke NextStep Malaysia:
Email NextStepMalaysia: [email protected]