Pertemuan Pemimpin Pas-Bersatu Bukti Kematangan PN, Kata Annuar Musa

Oleh ADINDA

KUALA LUMPUR – Lawan politik Perikatan Nasional (PN) dijangka berdepan kekecewaan susulan keupayaan pimpinan gabungan itu mengurus isu dalaman secara berhemah dan berlandaskan semangat kekeluargaan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, kunjungan hormat Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menjadi bukti jelas hubungan kukuh antara Pas dan Bersatu dalam PN.

Menurut beliau, pertemuan di Bukit Damansara itu diadakan kurang 24 jam selepas Muhyiddin pulang dari luar negara, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh PN serta keputusan Muhyiddin untuk melepaskan jawatan Pengerusi PN secara sukarela.

“Sudah tentu pihak yang memusuhi PN akan berasa kecewa melihat kebijaksanaan dan kematangan pimpinan gabungan ini dalam menangani cabaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Annuar berkata, Pas kekal berpegang kepada prinsip kebersamaan dan tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi luar yang bertujuan melemahkan hubungan antara parti komponen.

Beliau turut menyifatkan tindakan Pas membantu menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis daripada Bersatu sebagai bukti komitmen parti itu terhadap rakan gabungan.

Menurutnya, pimpinan PN memiliki pengalaman politik yang luas dan keupayaan untuk mengurus perbezaan pendapat tanpa menjejaskan kestabilan gabungan yang mendapat sokongan rakyat.

Annuar turut memaklumkan bahawa pertemuan tersebut menyentuh soal kesediaan Pas untuk mengambil alih peranan kepimpinan PN sekiranya berlaku kekosongan jawatan susulan keputusan Muhyiddin.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu, yang kemudian diikuti beberapa pemimpin Bersatu di peringkat negeri.

Langkah itu dibuat susulan dakwaan tekanan daripada sebahagian pemimpin Pas berhubung tindakan Bersatu yang tidak mengambil langkah terhadap beberapa ADUN parti itu yang menarik sokongan kepada bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Ketika ini, kerajaan negeri Perlis diterajui Menteri Besar baharu dari Bersatu, Abu Bakar Hamzah, yang juga ADUN Kuala Perlis.