Negara baru-baru ini dikejutkan dengan insiden pesawat ringan terhempas yang mengorbankan nyawa 10 mangsa di Lebuhraya Guthrie, dekat Elmina, Shah Alam.
Kejadian tersebut telah mengundang pelbagai perbincangan termasuklah mengenai pengurusan jenazah mangsa yang terlibat dalam insiden itu.
Oleh kerana mangsa yang terlibat dipercayai rentung terbakar, orang ramai mula tertanya-tanya bagaimanakah cara memandikan jenazah tersebut.
Berikut adalah penerangan pengurusan jenazah kebakaran daripada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Zulkifli memaklumkan bahawa hukum asal atau hak bagi jenazah adalah wajib dimandikan, samada ianya terbakar ataupun tidak.
Namun, sekiranya terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn) maka proses mandian tidak memerlukan air.
Hal ini kerana, kulit mangsa yang melepuh dikhuatiri akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan, maka air digantikan dengan tayammum.
“Hal ini kerana keadaan atau situasi yang dialami oleh mayat itu termasuk dalam keuzuran. Inilah juga pendapat dalam mazhab Syafi‘i,” katanya.
Bergantung kepada keadaan mayat, perlu diingatkan bahawa tidak semua jenazah mangsa kebakaran boleh dimandikan secara tayammun.
Jika kebakaran tersebut tidak menyebabkan kerosakkan yang terlalu serius kepada kulit mangsa, maka jenazah perlu dimandikan dengan air seperti biasa.
“Sekiranya kebakaran yang dialami pada mayat itu tidak parah atau terlalu sedikit, dan mayat berkenaan boleh terkena air (yakni tidak menjejaskannya).
“Justeru kami mencadangkan agar memandikannya dengan cara ringkas yang mencapai maksud mandi dan terlepas daripada dosa.
“Iaitu dengan menghilangkan najis yang mungkin terdapat di badan, kemudian meratakan air ke seluruh badannya.” Ulasnya.
Penjelasan ini dinyatakan menerusi laman web rasmi milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), maktabahalbakri.com.
Baca juga: Sayang baju kegemaran nampak lusuh, kolar kembang, ini cara mudah jaga baju nampak macam baru