Perlis Tawar RM10,000 Jika Capai 20 Emas SUKMA 2026

Oleh HADI KAMARUDIN

KANGAR, 9 Dis – Kerajaan Perlis mengumumkan tawaran insentif RM10,000 bagi pemenang acara individu sekiranya kontinjen negeri itu berjaya mencapai sasaran 20 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkata ganjaran itu bertujuan menyuntik semangat atlet dan jurulatih untuk bekerja lebih kuat dalam usaha memenuhi sasaran tersebut, yang menjadi tumpuan utama program pembangunan sukan negeri pada tahun hadapan.

“Pencapaian sasaran ini amat penting bagi memastikan kejayaan Pelan Pembangunan Sukan Negeri Perlis 2022–2026 melalui Projek 8:20, iaitu inisiatif yang menetapkan matlamat meraih 20 pingat emas daripada lapan sukan utama.

“Walaupun ia satu cabaran besar, kerajaan negeri yakin sasaran itu mampu dicapai dengan sokongan program latihan menyeluruh yang disusun di bawah Projek 8:20,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 bertema Perlisku Bestari Rakyat Sejahtera pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra hari ini.

Beliau berkata kira-kira 40 atlet prospek emas akan menerima tumpuan khusus merangkumi kebajikan, latihan intensif dan penyertaan dalam kejohanan di peringkat tempatan serta antarabangsa.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukri turut memaklumkan bahawa Persatuan Woodball Negeri Perlis akan menjadi penganjur bersama Kejohanan Woodball Piala Dunia ke-10, yang bakal menghimpunkan peserta dari 20 negara pada 25 hingga 31 Julai 2026.

“Penganjuran kejohanan bertaraf dunia ini akan mengukuhkan lagi peranan Perlis sebagai pusat pembangunan sukan woodball negara, sekali gus mengangkat nama negeri di peringkat antarabangsa,” ujarnya.