Dr Muhaimin Sulam
Mufti Acheh syahid di Melaka
Tidak jauh dari Masjid Kampong Hulu, Melaka yang menjadi tumpuan pelancong, carilah sebuah maqam tokoh terkenal tetapi kurang dikunjungi. Ada papan tanda berhampiran masjid itu yang menunjukkan maqam tersebut. Kedudukan maqam itu agak tersorok dan terpaksa melalui celah-celah tepi rumah penduduk untuk ke situ. Sheikh Syamsuddin al Sumatrani dimaqamkan di Kampong Ketek. Ini merupakan kampong yang menjadi tempat tinggal Abdulah Munsyi. Rumahnya hanya beberapa langkah dari maqam Sheikh Syamsuddin al Sumaterani.
Itulah maqam Sheikh Syamsuddin al Sumaterani. Terdapat beberapa kubur lama di sekitar maqam Sheikh Syamsuddin al Sumaterani. Kebanyakannya tidak bernama dan tiada pengenalan. Namun berdasarkan rekabentuk nisan di tempat tersebut, nyatalah sudah ratusan tahun kubur-kubur di situ.
Di Malaysia, maqam bukanlah tempat tarikan pelancong. Tidak seperti di Indonesia. Kubur wali-wali mereka dilawati oleh pengunjung tanpa henti. Siang malam dikunjungi orang. Ini dapat dilihat terutamanya di maqam Wali Songo seperti Sunan Ampel, Sunan Giri dan sebagainya. Kehadiran ramai pelancong telah menjana ekonomi tempatan hingga mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.
Sheikh Syamsuddin al Sumatrani terkenal sebagai anak murid kepada Hamzah Fansuri, seorang ahli sufi terkenal di Nusantara. Sheikh Syamsuddin Sumatrani adalah mufti dan penasihat kepada Kerajaan Islam Aceh Darussalam dari masa Sultan Saidil Mukammil (1596–1604), Sultan Ali Riayatsyah (1604 – 1607) dan Sultan Iskandar Muda (1607 – 1636). Sheikh Syamsuddin mengajar agama dan seni mempertahankan diri kepada Iskandar Muda sejak baginda berusia 13 tahun. Pengaruhnya bukan calang-calang dalam masyarakat Acheh dan juga elit politik Serambi Mekah itu.
Syeikh Syamsuddin al Sumatrani merupakan seorang penulis yang produktif sebagaimana gurunya, Hamzah Fansuri. Karya karya beliau sebagai berikut: Jawahirul Haqaiq, Tanbiihuth-Thullab fil Ma’rifati Malikil-Wahab, Risalatul-Baiyin Mulahazat Al-Muwahhidina ‘Alat-Muhtadi fi Zikrillah, Kitabul Harakah, dan Nurul Daqaiq. Manakala kitab beliau dalam bahasa Melayu ialah Mir ‘aatul Iman, Mir ‘aatul Mu’minin, Syarah Mir’aatul Qulub Mir ‘aatul Haqiqah.
Ajaran tasawuf di Aceh yang dikembangkan oleh Syeikh Syamsuddin As Sumatrany dan Hamzah Fansuri dianggap sesat oleh Nurdin Ar Raniry dalam kitabnya At Tibyanul fi Ma’rifati A’yaan. Nurudin ar Raniri merupakan ulama India yang terkemudian datang ke Acheh. Polemik antara ulama hingga menuduh sebahagian ulama yang tidak sehaluan sebagai sesat dan terkeluar daripada ajaran Islam banyak dirakam dalam sejarah. Ini terutamanya ulama-ulama yang terlibat secara langsung dalam politik pemerintahan.
Pandangan yang mengatakan Syamsuddin dan Hamzah sebagai sesat telah dibantah oleh Syeikh Ahmad Qusyasyi. Beliau menyatakan bahawa ajaran tasawuf yang dikembangkan oleh ulama besar Acheh ini tidak sesat, tidak bid’ah, dan ajarannya adalah menurut hak yang sebenarnya. Kitab-kitab mereka diharam dan dibakar selepas kematian mereka.
Pada 1629, Syeikh Syamsuddin menyertai rombongan perang Acheh yang diketuai Panglima Pidie menyerang Melaka yang ketika itu dikuasai Portugis. Dalam peperangan tersebut, Panglima Pidie, Sheikh Syamsuddin al Sumatrani, Malim Dagang dan ramai tentera Acheh telah syahid. Kegagalan serangan itu berpunca daripada pengkhianatan beberapa pembesar Melayu dari Pahang, Johor dan Patani terhadap Aceh dengan membantu Portugis. Tiadalah diketahui bagaimana kerajaan Melayu bersekutu dengan Portugis bagi menentang Acheh, sebuah kerajaan Melayu juga. Kajian perlu diteliti lebih mendalam.
Frederick de Houtman dalam bukunya Cort Verhael van’t Wedervaren is Frederick de Houtman, Tot Atchein (1603) menyatakan, bahawa Sheikh Syamsuddin adalah penasihat agung Sultan Saidil Mukammil. Sheikh Syamsuddin tidak teragak-agak mengajak Frederick memeluk Islam. Hal yang sama juga dilakukan kepada seorang pengembara Inggeris, James Lascaster pada 1602. Dalam buku ‘The Voyages of Sir James Lancaster to Brazil and the East Indies, 1591-1603’ juga mencatat tentang peranan dan kedudukan penting Sheikh Syamsuddin dalam kerajaan Acheh.
Beliau bukan sekadar ulama yang menjadi penasihat Sultan Acheh tetapi seorang ahli politik, memiliki kepimpinan sebagai pahlawan di medan perang. Pengalaman berada di bawah tiga sultan Acheh, membolehkan Syamsuddin al Sumaterany berperanan lebih luas dalam geo politik Acheh.
Maqam Sheikh Syamsuddin al Sumaterani panjang sebagaimana kelaziman maqam-maqam yang dianggap wali atau keramat bagi masyarakat tempatan. Panjangnya lebih kurang 8 meter. Syamsuddin al Sumaterani sanggup mengharungi Selat Melaka berdepan tentera Portugis. Segala tulisan dan kata-katanya dikotakan hatta beliau kehilangan jiwa.
Sheikh Syamsuddin al Sumaterani adalah pemimpin, seorang ulama, negarawan dan perwira. Kualiti kepimpinan sebeginilah yang menjadi aspirasi kita. Seorang mufti yang berjuang mempertahankan kepentingan Islam dan sanggup kehilangan nyawa. Bukan mufti yang takut kehilangan jawatan atau kedudukan.
Dr. Muhaimin Sulam, seorang penyelidik sejarah dan budayawan. Menghasilkan rancangan Melaka5Minit iaitu sebuah rancangan pendokumentasian khazanah serta warisan sejarah Nusantara.